GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat secara menyeluruh dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan etnik Rohingya ke negara ini yang dipercayai turut melibatkan unsur rasuah, eksploitasi wanita dan kanak-kanak serta memberi kesan kepada keselamatan negara.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pendedahan mengenai kegiatan penyeludupan yang didakwa berlaku secara sistematik dan terancang itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menghakis kedaulatan negara sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Menurutnya, isu tersebut bukan sahaja melibatkan pertambahan jumlah etnik Rohingya di Malaysia, malah turut dikaitkan dengan pelbagai masalah lain termasuk kewujudan penempatan haram, eksploitasi manusia dan peningkatan aktiviti jenayah.
Beliau berkata, etnik Rohingya merupakan antara kelompok pelarian yang paling terpinggir di dunia dan telah lama menetap di wilayah Rakhine, Myanmar.
Menurutnya, Malaysia merupakan antara destinasi utama yang menjadi tumpuan pelarian Rohingya, menyebabkan jumlah mereka di negara ini terus meningkat dari semasa ke semasa.
“Pertambahan populasi tersebut turut menyaksikan peningkatan penempatan haram yang kini berada pada tahap membimbangkan,” katanya.
Mohd Yussof berkata, pihak berkuasa sebelum ini telah menjalankan operasi merobohkan penempatan haram yang didiami etnik Rohingya di beberapa lokasi, termasuk Kampung Sungai Makau, Hulu Langat, bagi membendung pembukaan kawasan penempatan tidak sah.
Katanya, berdasarkan pendedahan seorang peguam mengenai dakwaan kewujudan sindiket penyeludupan Rohingya yang melibatkan bayaran puluhan ribu ringgit, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi secara sistematik dengan penglibatan ejen tempatan dan warga asing.
Menurut beliau, mereka didakwa membawa masuk pelarian dari kem pelarian atau negara asal melalui laluan laut sebelum tiba di Malaysia.
Beliau berkata, kegiatan tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pertambahan jumlah pendatang tanpa izin, malah menimbulkan pelbagai isu berkaitan aspek undang-undang, keselamatan dan sosial.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai meraih keuntungan lumayan hasil aktiviti penyeludupan berkenaan, manakala golongan Rohingya pula terus menjadi mangsa eksploitasi.
“Sehubungan itu, Pemenang memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong untuk menggesa Kerajaan Madani menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat isu ini secara menyeluruh.
“Dengan segala kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda, kami memohon agar kerajaan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat gejala ini hingga ke akar umbi sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Langkah segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.