120,000 pelajar di Selangor terima sarapan percuma

Iklan
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melaksanakan program Sarapan Percuma kepada 120,000 pelajar di 965 sekolah seluruh negeri sebagai inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban pelajar yang terkesan akibat kos sara hidup khususnya mereka yang tidak sempat bersarapan sebelum ke sekolah.

Iklan
Iklan

"Pelaksanaan program ini tidak akan menggantikan Program RMT (Rancangan Makanan Tambahan) sedia ada, sebaliknya dilaksanakan sebagai tambahan kepada kumpulan pelajar lain yang layak.

"Program RMT melibatkan kira-kira 55,000 pelajar, jadi kita tidak ganggu sistem sedia ada, sebaliknya kita tambah lagi melalui program sarapan percuma ini," katanya pada sidang media selepas pelancaran PPDTS Fasa 1 di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Isnin.

Iklan

Amirudin berkata, pelaksanaan program itu akan dibuat dua hingga tiga kali seminggu bergantung kepada kesesuaian dengan keutamaan diberikan kepada kualiti dan aspek pemakanan seimbang.

Menurutnya, pelaksanaan program turut diselaraskan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berdasarkan data pelajar yang dikenal pasti memerlukan bantuan.

Iklan

"Kita ambil kira data daripada sekolah dan jabatan berkaitan bagi memastikan bantuan ini sampai kepada kumpulan sasar," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menekankan aspek keselamatan makanan serta pematuhan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam penyediaan hidangan kepada pelajar.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan Selangor akan mengadakan Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari bermula Jumaat depan bagi membincangkan langkah susulan berkaitan isu ekonomi dan perlindungan rakyat di negeri itu.

Jelas beliau, sidang khas itu akan memberi ruang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membahaskan beberapa langkah intervensi yang sedang dirangka kerajaan negeri.

Beliau berkata, antara fokus utama yang akan dibentangkan termasuk usaha melindungi pekerja serta memperkukuh daya tahan ekonomi negeri berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

"Sidang khas ini akan diadakan selama tiga hari bermula 19, diikuti 22 dan 23 Jun ini" katanya.

Amirudin memberitahu, kerajaan negeri ketika ini sedang meneliti beberapa langkah tambahan bagi memastikan kesan tekanan ekonomi dapat ditangani secara lebih menyeluruh.

"Sidang khas ini juga penting bagi memastikan setiap dasar dan intervensi kerajaan negeri dapat dibahaskan serta diperhalusi oleh semua pihak berkaitan," tambah beliau.