500 unit PPR Taman Yu Legenda masih terbiar, kos baik pulih dibimbangi meningkat

Iklan
Noh (dua dari kanan) melakukan tinjauan di Taman Yu Legenda, Sungai Yu Tanjong Karang pada Rabu.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Yu Legenda, Sungai Yu, Tanjong Karang di sini masih terbiar walaupun sudah siap dan sedia untuk diduduki.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, keadaan itu amat dikesalkan berikutan projek tersebut sudah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sejak tahun lalu.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek berkenaan diasaskan ketika beliau menerajui kementerian itu dengan matlamat membantu golongan B40 khususnya warga tempatan mendapatkan rumah.

"Saya kesal kerana kediaman ini sebenarnya sudah sedia diduduki dan pemaju juga sudah menyerahkan projek terbabit untuk didiami pemohon," katanya ketika ditemui selepas meninjau projek berkenaan pada Rabu.

Iklan

Noh berkata, projek yang terbiar lebih tiga tahun itu menyebabkan tempoh jaminan pemaju terhadap kediaman terbabit turut berakhir.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan kos baik pulih yang perlu ditanggung kerajaan akibat kerosakan selepas kediaman berkenaan lama tidak dihuni.

Iklan

"Lebih baik Menteri (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Nga Kor Ming meletakkan jawatan kerana hendak menguruskan rumah yang sudah siap dan sedia diduduki pun gagal dan terbengkalai," katanya.

Beliau berkata, ketika projek itu dilancarkan lebih 10 tahun lalu, beliau berhasrat supaya PPR Taman Yu Legenda ditawarkan kepada pemohon yang layak menerusi skim sewa untuk beli pada harga RM45,000.

"Banyak kerja baik pulih perlu dilakukan, pendawaian mungkin rosak dan bumbung juga boleh bocor.

"Kerajaan akhirnya terpaksa menanggung kos baik pulih kerosakan berkenaan dan wang rakyat akan terbazir begitu sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Yu, Rasidan Tumin berkata, kediaman yang dibiarkan kosong terlalu lama dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat.

"Penyerahan kepada pemohon perlu diselesaikan segera dan rumah ini sepatutnya dihuni kerana semuanya sudah lengkap," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini projek itu dibiarkan kosong dan dikhuatiri menimbulkan masalah kepada orang kampung.

"Di kampung ini juga ada warga asing yang tinggal dan kita bimbang pada masa akan datang kawasan ini menjadi penempatan haram bagi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.