Imran dan Nadia disatukan, sahabat lama dipertemukan

Iklan
Pasangan pengantin bersama ibu bapa mereka.

PUCHONG - Majlis perkahwinan Muhammad Akmal Imran Kamarul Zaman dan Nur Nadia Syuhada Rosli di pada Ahad 13 September lalu bukan sekadar meraikan penyatuan dua hati.

Ia malah turut menjadi medan pertemuan antara ahli keluarga dan sahabat lama serta pelbagai jenis tokoh daripada dunia politik, pentadbiran, akademik, profesional dan media yang mengenali keluarga pengantin sebahagiannya sejak puluhan tahun lalu.

Iklan
Iklan

Pasangan pengantin mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang setelah lulus ijazah undang-undang dengan kepujian dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Imran kini berkhidmat di Kementerian Kewangan manakala Nadia merupakan Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.

Iklan

Bapa pengantin, Dr Kamarul (kiri) bersama Tuan Ibrahim dan Idris yang turut hadir dalam majlis tersebut.

Penyatuan mereka turut menyatukan keluarga besar pengantin lelaki yang mempunyai akar keluarga di Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas, Kelantan, serta Pekan, Pahang, di samping keluarga pengantin perempuan dari Dewan Beta, Kota Bharu.

Iklan

Kehadiran ramai tetamu kehormat menjadi antara keistimewaan majlis tersebut. Turut hadir Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Di sebalik kehadiran nama-nama besar dalam politik dan akademik, antara momen paling menyentuh hati datang daripada ucapan bapa pengantin lelaki, Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff.

Beliau merakamkan penghargaan kepada tetamu yang datang dari seluruh pelosok negara, termasuk sahabat yang sudah sekian lama tidak ditemui sejak zaman Sekolah Menengah Sains Machang, Universiti Teknologi MARA, Indiana University Bloomington, Universiti Malaya dan ketika berkhidmat di Pejabat Perdana Menteri.

Tetapi bahagian paling peribadi ialah ketika beliau memberikan penghargaan khusus kepada isterinya, Aida Rozita Mokhtar.

Dr Kamarul menceritakan bagaimana beliau sendiri menyaksikan isterinya bekerja keras selama berbulan-bulan, siang dan malam, memikirkan setiap perincian bagi memastikan hari bahagia anak mereka berlangsung sebaik mungkin.

“Terima kasih kerana menjadikan hari istimewa anak dan menantu kita ini benar-benar istimewa,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran mengejut Tok Mat yang datang bersendirian tanpa protokol.

Penghargaan itu menjadikan ucapan tersebut lebih daripada ucapan seorang tuan rumah dan menjadi pengakuan terbuka seorang suami terhadap pengorbanan isterinya yang bekerja di belakang tabir dan menjadi tulang belakang utama kejayaan majlis keluarga itu.

Majlis berlangsung di Glass Hall by Lugar De La Boda, Taman Puchong Prima itu menyediakan kemudahan perkahwinan dan katering secara bersepadu.

Menurut pengurusnya, Nazrul Hazliana Mohd Rejab, operasi Glass Hall di lokasi semasa bermula pada Februari 2025 selepas berpindah dari Puchong Utama.

Dewan berkonsepkan marquee itu mempunyai 42 meja dan boleh menempatkan sekitar 400 tetamu pada satu-satu masa.

Keindahan lokasinya turut menarik perhatian Puan Sri Fatini Yaakob, yang dalam komennya di Facebook menyifatkan tempat tersebut sebagai sangat cantik dan “tersorok di Puchong” selain melihat kehadiran ramai VIP sebagai gambaran penghargaan mereka terhadap persahabatan dengan keluarga pengantin.

Makanan turut menjadi tarikan. Selain sajian pihak Hanana, tetamu berpeluang menikmati hidangan istimewa Pakistan yang disediakan dengan sokongan sahabat-sahabat Minhaj al-Qur’an International, khususnya Platform19 Shah Alam.

Sentuhan tersebut memberikan variasi tersendiri kepada jamuan tradisional majlis perkahwinan Melayu.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan isteri turut menyerikan majlis

Majlis dipandu oleh Ellia Raini, pengacara berpengalaman lebih sedekad dalam media, kewartawanan dan penyiaran.

Ellia merupakan anggota pasukan perintis Astro AWANI dari 2007 hingga 2010 sebelum bersama Astro ARENA dari 2012 hingga 2017. Pengalamannya menjadikan perjalanan majlis tersusun, profesional tetapi tetap mesra.

Penampilan istimewa Muhammad Ariff Haikal Suhaimi daripada The Siblings Band, sahabat lama pengantin lelaki, turut memberikan sentuhan yang cukup peribadi kepada majlis.

Ia merupakan kejutan yang diatur oleh ibu pengantin lelaki untuk mempertemukan semula Imran dengan sahabat akrabnya yang telah terpisah selama 16 tahun sebelum Muhammad Ariff Haikal mengalunkan Selawat Taslim khas buat Imran.

Kemeriahan majlis kemudiannya terus dikongsi di media sosial antaranya, Tan Sri Annuar Musa menitipkan ucapan “Selamat Pengantin Baru Mohamed Akmal dan Nur Nadia” serta mendoakan rahmat Allah buat pasangan dan keluarga.

Wee Ka Siong pula menyifatkan Imran dan Nadia sebagai “generasi muda yang berbakat besar” selain mendoakan agar pasangan berkenaan terus bahagia hingga akhir hayat.

Datuk Idris Ahmad juga menyifatkan majlis itu semakin bermakna kerana dapat bertemu semula sahabat ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia serta bekas anak muridnya di Universiti Teknologi MARA.

Ismail Sabri dan Ka Siong bergambar bersama pengantin.

Sementara itu, Datuk Iskandar Abdul Samad menulis bahawa beliau dan isteri sempat singgah sebelum menghadiri mesyuarat di Jalan Raja Laut dan gembira bertemu beberapa orang sahabat lama.

Pada akhirnya, nilai terbesar majlis tersebut bukan semata-mata pada dewan yang indah, makanan yang pelbagai atau deretan nama besar yang hadir tetapi ia ialah tentang persahabatan.

Seperti dirumuskan oleh Dr Kamarul selepas berakhirnya majlis, masa berlalu dan jawatan datang serta pergi, tetapi manusia yang masih mengingati dan hadir bersama ketika kita tidak lagi mempunyai kedudukan adalah kekayaan sebenar kehidupan.

Majlis itu berlangsung hanya beberapa jam, tetapi persahabatan yang membawa mereka ke Puchong pada hari tersebut telah dibina selama puluhan tahun.

Itulah kenangan paling mahal daripada majlis perkahwinan Imran dan Nadia.