KOTA BHARU - Polis Kelantan mendedahkan percubaan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), khususnya etnik Rohingya dan warga Myanmar berlaku hampir setiap hari melalui laluan sungai serta laut di sempadan negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sindiket penyeludupan PATI melibatkan etnik berkenaan dipercayai mengubah taktik dengan menggunakan laluan dari Tak Bai, Thailand ke Tumpat selepas penutupan pangkalan haram di Rantau Panjang.
Menurut beliau, kawasan perairan yang mempunyai banyak anak sungai dan laluan kecil di sekitar Pengkalan Kubor dikenal pasti antara lokasi utama yang digunakan untuk membawa masuk PATI ke negara ini.
"Kita dapati percubaan kemasukan PATI berlaku hampir setiap hari melalui kawasan tersebut.
"Majoritinya membabitkan warga Myanmar dan etnik Rohingya yang menggunakan laluan sungai untuk memasuki negara ini," katanya semasa sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Mohd Yusoff memberitahu, Malaysia masih menjadi destinasi pilihan etnik Rohingya berikutan faktor agama, keselamatan, peluang pekerjaan serta kewujudan ahli keluarga dan kenalan yang telah lama menetap di negara ini.
Menurutnya, faktor tersebut mendorong ramai daripada mereka mengambil risiko menggunakan laluan haram untuk memasuki negara ini meskipun kawalan sempadan terus dipertingkatkan.
Ujar beliau, pihak polis melalui Cawangan Khas (SB) sentiasa menjalankan pemantauan terhadap pergerakan, aktiviti dan lokasi yang menjadi tumpuan komuniti Rohingya di negeri ini.
"Pemantauan ini penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan keselamatan, sosial dan ketenteraman awam dapat dikawal dengan baik.
"Kita akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan PATI melalui laluan tidak sah di sepanjang sempadan negara," katanya.
Mohd Yusoff memberitahu, etnik Rohingya yang melakukan kesalahan atau jenayah dan didapati bersalah akan masuk ke penjara.
Ujar beliau, bagi kesalahan masuk secara tidak sah akan ditempatkan di depo tahanan.