Beratur panjang cuba nasib kerja kilang, gaji bermula RM3,500

Iklan
Orang ramai yang menghadiri sesi temu duga sebuah kilang elektronik di Batu Berendam. Foto FB Datuk Shadan Othman

MELAKA - Tawaran gaji dipercayai bermula RM3,500 sebulan antara tarikan yang mendorong anak muda sanggup beratur panjang untuk mencuba nasib menghadiri sesi temu duga sebuah kilang elektronik di Batu Berendam di sini, seperti yang tular di media sosial pada Ahad.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, situasi itu tidak menggambarkan kadar pengangguran yang tinggi di negeri ini, sebaliknya menunjukkan tarikan terhadap tawaran pekerjaan yang disediakan.

Iklan
Iklan

“Kadar pengangguran di Melaka hanya sekitar dua peratus sahaja. Saya percaya mereka yang hadir bukan dalam kalangan rakyat Melaka sahaja, tetapi juga dari negeri lain kerana tertarik dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Pihak syarikat memaklumkan sesi temu duga terbuka itu diadakan bagi mengisi antara 300 hingga 500 kekosongan jawatan membabitkan operator pengeluaran dan juruteknik,” katanya pada Ahad.

Iklan

Tawaran gaji yang dipercayai bermula sekitar RM3,500 sebulan menjadi antara faktor utama yang menarik kehadiran ramai pencari kerja. Foto FB Datuk Shadan Othman

Menurutnya, tawaran gaji yang dipercayai bermula sekitar RM3,500 sebulan menjadi antara faktor utama yang menarik kehadiran ramai pencari kerja.

Iklan

“Apabila syarikat menawarkan peluang pekerjaan yang baik dengan gaji kompetitif, sudah tentu ia akan menarik kehadiran pencari kerja dalam jumlah yang ramai.

Sejak pagi Ahad, sebuah hotel yang menjadi lokasi sesi temu duga syarikat berkenaan menarik perhatian orang ramai.

Situasi orang ramai beratur panjang mencuba nasib bekerja kilang dengan tawaran gaji dipercayai bermula RM3,500. Foto FB Datuk Shadan Othman

Netizen pada awalnya menyangka kehadiran orang ramai yang beratur panjang sejak awal pagi itu disebabkan acara makanan atau kehadiran pelancong ke negeri ini, namun sebenarnya mereka hadir bagi menghadiri sesi temu duga.

Situasi itu turut menarik perhatian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman yang turun meninjau lokasi selepas menerima aduan awam berhubung isu keselamatan dan keselesaan orang ramai yang menghadiri sesi temu duga anjuran syarikat berkenaan.

Shadan turut bertemu pihak pengurusan bagi mendapatkan penjelasan serta memastikan langkah sewajarnya diambil untuk menjamin keselamatan, keselesaan dan kelancaran urusan pencari kerja yang hadir.

Shadan agihkan makanan kepada calon hadir temu duga terbuka kilang elektronik pada Ahad. Foto FB Datuk Shadan Othman

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang cakna dengan situasi tersebut turut mengagihkan bekalan makanan dan minuman kepada peserta temu duga.