Larian solo 290km, bawa isu DAK ke Parlimen

Iklan
Larian selama enam hari dikenali sebagai Larian Solidariti Bersama DAK itu bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka.

TAIPING - Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong akan mengharungi larian solo sejauh 290 kilometer dari Taiping ke Parlimen, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti terhadap nasib tiga gajah Malaysia di Jepun.

Beliau yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri berkata berkata, larian selama enam hari dikenali sebagai Larian Solidariti Bersama DAK itu bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan tiga gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sekadar cabaran fizikal, sebaliknya satu bentuk gesaan kepada kerajaan dan pihak berkepentingan agar mengambil tindakan sewajarnya.

“Isu ini perlu dibahasankan segera dalam Dewan Rakyat.

Iklan

"Masa semakin suntuk apabila keadaan kesihatan ketiga-tiga gajah ini dilaporkan semakin merosot sejak dibawa ke Jepun pada 11 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Larian yang bermula 17 hingga 22 Jun itu melibatkan laluan Taiping ke Ipoh (61 kilometer), Ipoh ke Kampar (44 kilometer), Kampar ke Tapah (45 kilometer), Bidor ke Tanjung Malim (60 kilometer), Tanjung Malim ke Selayang (60 kilometer) dan Selayang ke Parlimen (20 kilometer).

Iklan

Choo Seong memaklumkan, beliau turut mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat setempat di setiap hentian bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi khazanah negara.

“Saya menyeru sokongan rakyat Malaysia agar bersama-sama memberi perhatian terhadap isu ini supaya kebajikan haiwan ikonik negara terus terpelihara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata satu petisyen akan diserahkan di hadapan pintu masuk utama bangunan Parlimen bersempena hari pertama persidangan Dewan Rakyat pada 22 Jun.

Katanya, petisyen itu akan disampaikan kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk dibawa dan dibahaskan di Parlimen.

"Kita harap larian ini dapat membuka ruang perbincangan lebih konstruktif antara kerajaan Malaysia dan pihak Zoo Tennoji demi masa depan ketiga-tiga gajah berkenaan," katanya.