CHUKAI - Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot yang mereka naiki tenggelam akibat ribut di perairan Kemaman, kira-kira 27.9 batu nautika dari pantai, Rabu lepas, diteruskan hari ini dengan bantuan sebuah helikopter.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Abdul Halim Hamzah berkata, sektor pencarian yang memasuki hari ketiga diperluaskan meliputi kawasan seluas 127.1 batu nautika persegi.
Beliau berkata, helikopter jenis AW139 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi melaksanakan tinjauan udara untuk membantu operasi mencari kedua-dua mangsa yang masih hilang.
Selain itu, katanya operasi berkenaan turut melibatkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Bot Penggalang 16 dan KM Bagahak, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan bot PLC 3 serta dua bot awam.
Abdul Halim berkata, kawasan pencarian berkenaan diperluaskan dan tertumpu di perairan Kemaman hingga Kuala Terengganu.
"Carilamat hari ini dijalankan dalam keadaan cuaca baik dengan lelajuan angin kurang dari 10 kilometer/sejam dan ketinggian ombak kurang dari 0.5 meter," katanya.
Dalam kejadian pada Rabu lepas, sebuah bot nelayan yang dikendalikan tekong, Azan Muda, 68, bersama dua kru, Nordin Mohammad, 61, dan Mahadi Jusoh, 51, dilaporkan tenggelam akibat ribut pada kira-kira 12.30 tengah malam.
Bagaimanapun, Mahadi berjaya diselamatkan oleh nelayan lain di perairan Kemaman pada 10.30 pagi, Khamis lepas, manakala Azan dan Nordin masih belum ditemukan sehingga kini. - Bernama