196 pengunjung bawah umur dicekup dalam serbuan pusat hiburan

Iklan
Seramai 196 individu bawah umur ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dipercayai beroperasi tanpa lesen sah di ibu negara pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Seramai 196 individu bawah umur ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dipercayai beroperasi tanpa lesen sah di ibu negara pada Ahad.

Serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dijalankan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, daripada jumlah pengunjung bawah umur yang ditahan, 94 lelaki dan 61 perempuan merupakan warga tempatan.

Beliau berkata, baki 41 individu bawah umur terdiri daripada 16 lelaki dan 25 perempuan warga asing.

Iklan

"Selain itu, pemeriksaan turut melibatkan 89 lelaki dan 75 perempuan warga tempatan serta 43 lelaki dan 12 perempuan warga asing.

Katanya, seramai 196 pengunjung bawah umur dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan saman, dokumentasi dan tindakan lanjut.

Iklan

Ujarnya, hasil semakan mendapati kesemua individu yang diperiksa tidak mempunyai rekod dikehendaki polis.

"Bagaimanapun, saringan awal air kencing terhadap 49 individu mendapati seorang positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (MET), manakala selebihnya negatif.

"Polis turut menjalankan siasatan terhadap pengurus premis mengikut Seksyen 29(2) Kaedah-kaedah Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1993 kerana membenarkan pengunjung bawah umur memasuki premis hiburan," katanya.

Antara individu diperiksa dalam serbuan sebuah pusat hiburan pada Ahad.

Tambahnya, operasi itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Polis Kuala Lumpur, dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

"Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.