SHAH ALAM - Beberapa individu yang mendakwa meninggalkan pegangan Islam menerusi video tular baru-baru ini dipercayai berada di luar negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap penularan beberapa rakaman video yang memaparkan pengakuan individu terbabit.
"Individu berkenaan turut mengaitkan tindakan meninggalkan Islam dengan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light (TAROPAL).
"Perkara ini turut mengambil kira maklumat bahawa individu yang dikaitkan dengan video berkenaan dipercayai berada di luar negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini tular di media sosial beberapa individu mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam yang didakwa 'versi' Jakim.
Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-124 yang bersidang pada 26 hingga 28 Jun 2024 telah memutuskan bahawa ajaran TAROPAL adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Katanya, pihak berkuasa agama negeri bersama agensi keselamatan sentiasa meneliti perkembangan isu berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing.
"Jakim dan pihak berkuasa agama negeri akan terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap asas akidah Islam yang sahih.
"Usaha itu berteraskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi memastikan umat Islam sentiasa teguh dengan ajaran Islam yang sebenar," katanya.