Perak peruntuk RM17 juta urus SMTDR

Iklan
Sultan Nazrin menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada Selasa.

LENGGONG - Kerajaan Perak memperuntukkan hampir RM17 juta pada tahun 2026 bagi pengurusan rangkaian lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan tersebut merangkumi operasi sekolah, emolumen guru, latihan, makanan pelajar, kebajikan asrama dan penyelenggaraan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri sedar bahawa pendidikan tahfiz yang berkualiti memerlukan sokongan yang konsisten.

"Peruntukan ini menggambarkan bahawa pembangunan pendidikan tidak hanya diukur pada binaan fizikal semata-mata.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi di sini pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Iklan

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Saarani berkata, pembinaan SMTDR Lenggong bukan sekadar menyediakan sebuah lagi institusi pendidikan, sebaliknya mencerminkan iltizam kerajaan negeri dalam membina masa depan yang berpaksikan ilmu, nilai murni dan keluhuran akhlak.

Menurutnya, perkembangan pendidikan tahfiz di bawah kerajaan negeri bermula sejak 2009 menerusi kelas perintis Program Tahfiz di tiga Sekolah Menengah Agama Negeri iaitu Sekolah Izzuddin Shah, Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah dan Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah.

“Usaha ini terus berkembang sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata, SMTDR Lenggong yang memulakan operasi pada 3 Januari 2012 di tapak sementara sebelum berpindah ke lokasi tetap pada Ogos 2020 kini berdiri di kawasan seluas 78,460 meter persegi.

Katanya, sekolah itu kini membimbing 176 pelajar lelaki dengan kekuatan 43 tenaga pengajar menerusi Kurikulum Bersepadu Tahfiz yang menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dan akademik arus perdana.

“Melalui aliran Sains Tulen dan Pengajian Islam, sekolah ini menyediakan laluan lebih luas kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional.

“Inilah asas kepada hasrat melahirkan generasi ulul albab yang bukan sahaja menghafaz al-Quran, malah menguasai ilmu, berfikiran kritis dan membawa nilai al-Quran dalam kehidupan serta bidang yang diceburi,” katanya.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan meluangkan masa menyantuni pelajar di dalam kelas selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong di Kampung Tersusun Bukit Sapi pada Selasa.

Dalam pada itu, Saarani berkata, prestasi akademik SMTDR Lenggong turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 3.28 pada 2023 kepada 2.05 pada 2024 sebelum merekodkan GPS 2.18 pada 2025.

Menurutnya, pencapaian tersebut meletakkan sekolah berkenaan sebagai sekolah kedua terbaik dalam kalangan lapan Sekolah Menengah Agama Negeri di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak selama dua tahun berturut-turut.

“Pencapaian ini bukan semata-mata ukuran peperiksaan, tetapi hasil kesungguhan pelajar, pengorbanan guru serta sokongan ibu bapa yang sentiasa meletakkan harapan besar terhadap masa depan anak-anak,” katanya.

Sehingga kini sebanyak lima buah SMTDR telah beroperasi iaitu daerah Manjung di Pulau Pangkor, Kerian (Gunung Semanggol), Hulu Perak (Lenggong), Batang Padang (Tapah) dan Kinta (Tambun).