Mahu anak jatuh cinta kepada buku

Iklan
Suraya mahu lebih ramai kanak-kanak mencari buku selepas mendengar cerita.

IPOH – Di sebalik timbunan buku kanak-kanak yang memenuhi ruang kediamannya, tersimpan satu misi besar yang dipegang teguh seorang pencerita untuk melihat lebih ramai kanak-kanak di negara ini jatuh cinta kepada buku.

Bagi seorang aktivis masyarakat, Suraya Ariffin atau lebih mesra disapa Kak Sue, tugas seorang pencerita bukan sekadar membaca dan menyampaikan cerita, sebaliknya menghidupkan setiap watak dalam sesebuah cerita ke pentas penceritaan ibarat ‘memberi suntikan nyawa’ kepada setiap karya yang dihasilkan penulis.

Iklan
Iklan

“Penulis menulis untuk pembaca, tetapi pencerita berperanan menarik pembaca untuk menyentuh, menyelak helaian demi helaian buku itu.

“Kanak-kanak yang belum tahu membaca pun, boleh jatuh cinta kepada cerita apabila kita sampaikan dengan menarik melalui teknik suara yang tepat, mimik muka dan emosi yang betul,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Salah satu program bersama kanak-kanak Orang Asli.

Menurut beliau, minat terhadap dunia penceritaan bermula daripada kecintaannya terhadap buku kanak-kanak yang dikumpul sejak menerima gaji pertama pada 1996.

Iklan

Bagaimanapun, minat itu berkembang menjadi satu perjuangan apabila beliau menyedari cerita boleh menjadi medium berkesan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

“Hasrat Kak Sue mudah, Kak Sue mahu anak-anak dengar cerita Kak Sue, mereka terhibur dan kemudian mereka akan cari buku itu sendiri.

“Kalau mereka ajak ibu bapa ke perpustakaan atau pesta buku selepas mendengar cerita Kak Sue, itu adalah satu bonus dan cukup menggembirakan,” katanya.

Tugas Suraya sebagai pencerita membolehkan interaksi secara dua hala.

Tambah Suraya, beliau pernah mengikuti pelbagai kursus profesional penceritaan bagi memperkukuhkan teknik persembahan.

Minat itu juga membuka peluang membawanya ke pelbagai negara seperti Filipina, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand untuk berkongsi cerita serta pengalaman sebagai pencerita.

Di Jepun misalnya, beliau pernah menghafal sebuah cerita rakyat tempatan dan menyampaikannya dalam bahasa Jepun dengan menggunakan teknik ‘kamishibai’ serta bercerita dalam bahasa Inggeris.

“Itu pengalaman yang sangat berharga dan Kak Sue tak akan lupa. Kak Sue mahu orang tahu, seorang pencerita juga boleh ‘terbang’ ke serata dunia hanya dengan kekuatan sebuah cerita,” katanya.

Suraya (berdiri, kiri) sebagai pencerita berjaya menarik minat kanak-kanak untuk membaca buku.

Namun, Suaraya berpendapat, bidang penceritaan di Malaysia perlu diketengahkan agar mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Sebenarnya terdapat ramai pencerita yang hebat di Malaysia malah dalam diam, anak jati Perak itu mengimpikan sebuah akademi bercerita di Malaysia bagi melahirkan pencerita-pencerita yang hebat.

“Di Malaysia kita ada sejarah penglipur lara yang hebat, tetapi sayangnya warisan itu semakin dipinggirkan.

“Dulu ada tukang cerita yang menghiburkan masyarakat dan menyampaikan cerita di istana, tetapi hari ini profesion itu kurang tidak dipandang,” katanya.

Secara peribadi, Suraya berpendapat, pencerita perlu diangkat martabatnya kerana mereka berfungsi sebagai jambatan antara buku dan pembaca.

Tanpa individu yang mampu menarik minat kanak-kanak kepada buku, katanya, banyak karya hebat akhirnya hanya tersusun rapi di atas rak tanpa disentuh.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya membaca rakyat Malaysia yang masih rendah walaupun telah ada peningkatan daripada sebelum ini, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang terlalu awal didedahkan kepada gajet.

“Ada sesetengah ibu bapa yang menyatakan mereka tiada masa membaca untuk anak, sedangkan saya hanya minta 10 minit sahaja sehari.

“Daripada 24 jam, takkan 10 minit untuk membaca bersama anak pun tidak ada?” soalnya.

Tambahnya lagi, bermula dari 10 minit itu, beliau yakin lama-kelamaan akan mendekatkan kanak-kanak dengan bahan bacaan.