WELLINGTON – New Zealand mengenakan larangan perjalanan terhadap tiga individu yang disifatkan sebagai pendatang ekstremis Israel di Tebing Barat, selaras dengan tindakan yang turut diambil Australia dan Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Luar New Zealand, Winston Peters berkata, tindakan itu tidak ditujukan kepada kerajaan atau rakyat Israel secara keseluruhan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan larangan tersebut menyasarkan tiga individu yang didakwa terlibat secara aktif dalam usaha memperluaskan penempatan haram Israel di Tebing Barat, termasuk melalui keganasan.
"Tindakan individu-individu ini mengancam keamanan dan keselamatan rakyat Israel serta Palestin," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Peters menegaskan bahawa penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Menurutnya, perluasan penempatan haram dan keganasan yang berkaitan dengannya menjejaskan prospek penyelesaian dua negara yang selama ini diperjuangkan masyarakat antarabangsa.
"Perdamaian, keselamatan dan kemakmuran di rantau itu hanya dapat dicapai menerusi penyelesaian dua negara yang dirundingkan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa New Zealand terus menyokong penyelesaian dua negara, pendirian yang dikongsi oleh majoriti besar komuniti antarabangsa.
Tiga individu yang dikenakan larangan memasuki New Zealand ialah Itamar Yehuda Levi, Harel David Libi dan Eliav Libi.-Agensi