HSA beri penjelasan isu tular pesakit tunggu lama di Zon Hijau

Iklan
HSA tampil memberi penjelasan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan suasana bilik konsultasi dan ruang perawatan di Zon Hijau, JKT hospital berkenaan tanpa kehadiran pegawai perubatan.

JOHOR BAHRU – Pihak pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) tampil memberi penjelasan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan suasana bilik konsultasi dan ruang perawatan di Zon Hijau, Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) hospital berkenaan tanpa kehadiran pegawai perubatan.

Menurut HSA, berdasarkan siasatan awal, pengadu hadir bersama pesakit sekitar jam 5.45 pagi dengan aduan pendarahan semasa kehamilan sebelum menerima penilaian dan rawatan awal di kaunter triage oleh petugas kesihatan bertuga, sebelum diarahkan ke zon rawatan untuk pemerhatian lanjut.

Iklan
Iklan

"Semakan lanjut mendapati pada waktu terbabit terdapat tiga pegawai perubatan bertugas di Zon Hijau, namun ketika kejadian pegawai berkenaan sedang mengendalikan beberapa kes klinikal lain yang memerlukan perhatian segera.

"Skop tugasan pegawai perubatan merangkumi pemeriksaan pesakit di Zon Hijau, Asthma Bay, Bilik Pemantauan, Zon Kuning 2 serta mengetuai pasukan Rapid Transport Team (RTT) bagi kes Zon Merah mengikut keperluan.

Iklan

"Pesakit dibenarkan pulang bersama nasihat perubatan kira-kira 9 pagi," menurut kenyataan.

Dalam pada itu, pihak hospital memahami situasi di JKT boleh menimbulkan kebimbangan kepada pesakit dan waris terutama ketika waktu sesak dan melibatkan emosi tinggi.

Iklan

Justeru, aspek komunikasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan akan terus diberi perhatian dari semasa ke semasa.

"Pada masa yang sama, orang awam diingatkan agar tidak merakam atau menyiarkan kandungan melibatkan pesakit, petugas kesihatan dan kawasan rawatan tanpa kebenaran kerana boleh menjejaskan privasi serta melanggar etika dan peraturan," katanya.

"HSA meminta sebarang maklum balas atau aduan disalurkan melalui saluran rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan sewajarnya dan pihaknya sentiasa komited dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, profesional dan berkualiti kepada semua pesakit," menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum itu, pengguna TikTok yang memuat naik video itu mendakwa pesakit menunggu tiga jam akibat ketiadaan pegawai perubatan serta menzahirkan kekecewaan.