KUALA LUMPUR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dinobatkan sebagai juara bagi kategori Anugerah Matlamat Pembangunan Mampan 6 (SDG6) pada anugerah berprestij Anugerah Air Global 2026 (Global Water Awards 2026) di Madrid, Sepanyol.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam pihaknya amat berbesar hati menerima anugerah berkenaan.
Menurutnya, kelestarian merupakan teras kepada setiap perkara yang IWK lakukan dan inisiatif ini mencerminkan komitmen pihaknya untuk terus berusaha gigih bagi memastikan syarikat itu kekal mampan, dari segi alam sekitar mahupun kewangan.
"Melalui inisiatif ini, kami menunjukkan bagaimana inovasi dalam rawatan air sisa kumbahan mampu mewujudkan nilai jangka panjang di samping menyumbang secara bermakna kepada SDG 6 iaitu air bersih dan sanitasi.
"IWK telah disenarai pendek bersama organisasi air dan sanitasi bertaraf global, termasuk Aguas Nuevas dari Chile, Bangalore Water Supply and Sewerage Board (BWSSB) dari India, SANASA dari Brazil serta Sanepar dari Brazil," katanya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Penerbit GWI, Christopher Gasson berkata, inisiatif IWK dilihat menyerlah kerana menunjukkan bagaimana pembiayaan inovatif dan tenaga boleh diperbaharui dapat digabungkan secara berkesan dalam infrastruktur sanitasi asas.
Ujarnya, dengan menghasilkan impak operasi, alam sekitar dan kewangan yang boleh diukur tanpa memerlukan perbelanjaan modal awam di peringkat awal, IWK telah mewujudkan satu model yang boleh dijadikan rujukan oleh utiliti di seluruh dunia dalam usaha mencapai SDG 6 serta membina sistem air yang lebih berdaya tahan.
Terdahulu, anugerah tersebut mengiktiraf penyertaan IWK bertajuk 'Solar-powered Sanitation: No Upfront Cost, Cuts Emissions' yang mempamerkan bagaimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu memperkukuh prestasi operasi rawatan air sisa kumbahan di samping memacu pembangunan infrastruktur mampan dan memperkukuhkan daya tahan kewangan.
IWK menyediakan perkhidmatan bersambung kepada penduduk setara (cPE) melebihi 32 juta rakyat Malaysia, IWK terus memacu inovasi dalam sektor sanitasi menerusi pelaksanaan inisiatif operasi dan kelestarian yang progresif.
Program IWK yang memenangi anugerah tersebut melibatkan pelaksanaan sistem tenaga solar di 16 loji rawatan kumbahan di seluruh negara menerusi model Private Financing Initiative (PFI).
Inisiatif tersebut menjana kapasiti tenaga solar sebanyak 6.3 MWp serta menghasilkan kira-kira 7,700 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun bagi menyokong rawatan hampir 148 juta m3 air sisa kumbahan setiap tahun.
Ia dijangka menjimatkan kira-kira RM 41.8 juta kos elektrik dari grid, di samping mengurangkan lebih 5 Gg pelepasan karbon dioksida setiap tahun.
Antara keistimewaan inisiatif itu ialah struktur pembiayaannya yang inovatif, yang membolehkan IWK menggunakan tenaga boleh diperbaharui tanpa memerlukan sebarang pelaburan modal awam di peringkat awal.
Penggabungan elemen kewangan, kontrak dan teknikal, program tersebut bukan sahaja memperkukuh kebolehpercayaan operasi tetapi juga meletakkan kelestarian sebagai teras dalam perkhidmatan rawatan air sisa kumbahan.
Anugerah Air Global (Global Water Awards) yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Air Global, mengiktiraf pencapaian cemerlang, kepimpinan dalam kelestarian serta inovasi teknologi dalam industri air global.
Anugerah tersebut diianjurkan oleh GWI, penerbit dan penyedia maklumat industri bagi sektor air antarabangsa.
Pada tahun 2023, IWK turut menerima Anugerah Distinction di Global Water Awards bagi kategori Agensi Air Awam Terbaik (Public Water Agency of the Year).