SAN DIEGO - [DIKEMAS KINI] Tiga individu terbunuh dalam satu insiden tembakan di sebuah kompleks masjid di San Diego, California pada Isnin, manakala dua suspek remaja kemudian ditemukan maut di dalam sebuah kereta dipercayai akibat tembakan yang dilepaskan sendiri.
Menurut polis, pasukan kecemasan menemukan tiga mangsa maut di luar masjid San Diego sebelum menemui dua suspek berusia 19 dan 17 tahun turut maut tidak jauh dari lokasi kejadian.
Rakaman televisyen menunjukkan pasukan polis bersenjata lengkap berkawal di kawasan pusat Islam itu yang merupakan masjid terbesar di daerah San Diego.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penembak aktif sebelum anggota polis tiba di lokasi dalam masa empat minit.
Beliau turut memaklumkan seorang pekerja landskap berhampiran lokasi turut ditembak, namun tidak cedera.
Polis kemudian menemukan sebuah kenderaan di tengah jalan dengan kedua-dua suspek berada di dalamnya.
“Suspek dipercayai mati akibat tembakan sendiri dan tiada tembakan dilepaskan oleh pihak polis,” katanya.
Seorang pengawal keselamatan masjid dikenal pasti antara tiga mangsa yang terbunuh, manakala identiti dua lagi mangsa masih belum diumumkan.
Imam masjid, Taha Hassane berkata, semua kakitangan, guru dan kanak-kanak di masjid itu selamat.
“Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini. Kami mendoakan semua keluarga yang terkesan,” katanya sambil menyifatkan serangan terhadap rumah ibadat sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
Presiden, Donald Trump berkata, kerajaan akan meneliti insiden itu dengan serius, manakala Gabenor California, Gavin Newsom turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan. - AFP