KATHMANDU - [DIKEMAS KINI] Pendaki Malaysia, Mohd Khafiz Bachok antara yang berjaya menjejakkan kaki ke puncak Everest dengan catatan masa puncak pada jam 2.25 pagi waktu Nepal (NPT).
Mohd Khafiz yang merupakan merupakan ahli kumpulan kedua pendakian Ekspedisi Everest Spring 2026 itu berjaya menawan gunung tertinggi dunia berketinggian 8,848.86 meter (m).
Beliau turut berada dalam kumpulan sama bersama Munkhuu Myagmar (Mongolia), Mingma Dorchi Sherpa (Saila) dan Karma Gyalje Sherpa.
Dalam kumpulan tersebut, turut mencatat kejayaan sama ialah pendaki Sherpa iaitu Mingma Dorchi Sherpa (Saila) dan Karma Gyalje Sherpa, yang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan serta kelancaran pendakian di laluan ekstrem Himalaya.
Syarikat pengendalian ekspedisi, Altipro Adventures meraikan kejayaan sulung musim pendakian tersebut apabila sekumpulan pendaki antarabangsa dan Sherpa berjaya menawan puncak tertinggi dunia berkenaan.
Kejayaan tersebut menjadi detik bersejarah buat syarikat itu yang kali pertama mengendalikan ekspedisi ke puncak dunia, hasil persiapan rapi merangkumi aspek keselamatan, strategi laluan, pengurusan cuaca serta kerja berpasukan di kawasan altitud tinggi.
Menurut Altipro Adventures, kejayaan tersebut hasil komitmen tinggi seluruh pasukan termasuk Sherpa yang menunjukkan ketahanan luar biasa dalam persekitaran mencabar.
Dalam kenyataan sama, syarikat itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pendaki dan Sherpa yang terlibat, selain menegaskan bahawa kejayaan menawan puncak Everest hanyalah separuh daripada cabaran, dengan fasa turun ke Base Camp dianggap paling kritikal untuk keselamatan.
Kumpulan pendaki lain dalam ekspedisi itu turut mencatat kejayaan pada jam 2.35 pagi NPT, membabitkan Jennifer Claire Willis (Australia), Phunjo Jangmu Lama (Nepal), Mingma Nurbu Sherpa (Nepal) dan Pastenji Sherpa (Nepal).
Ekspedisi ini dianggap permulaan penting bagi Altipro Adventures dalam misi mengukuhkan reputasi sebagai pengendali ekspedisi altitud tinggi yang profesional dan berpengalaman di peringkat antarabangsa.