Murid Tahun Enam meninggal dunia di sekolah pernah mengadu sakit dada - Polis

Iklan
Murid Tahun Enam, Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi (tengah) dilaporkan pengsan ketika menghadiri perhimpunan di sekolah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

KLANG - Seorang murid Tahun Enam yang meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri perhimpunan bulanan di dewan sekolahnya di Klang pada Jumaat, dilaporkan pernah mengadu sakit dada kepada bapanya kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata, mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di klinik sebelum disahkan berada dalam keadaan sihat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kematian hanya dapat dipastikan selepas laporan bedah siasat diperoleh.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Iklan

Vijaya Rao berkata, mangsa merupakan anak tunggal kepada seorang anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan guru besar sekolah berkenaan dan bapa mangsa.

Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi,  dilaporkan pengsan ketika menghadiri perhimpunan di sekolah sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas itu. - Awani