'Sekurang-kurangnya enam minggu PKP untuk lihat keadaan sebenar'

Iklan
Wacana Sinar Harian Siri Ke-163 Pandemik Covid-19: Antara Sains dan Amaran ALLAH yang berlangsung malam tadi.

SHAH ALAM - Unjuran mengenai jumlah pesakit positif dan berapa lama lagi penularan wabak Covid-19 ini akan berlaku di Malaysia bergantung kepada data diambil oleh Kementerian Kesihatan pada masa kini.

Profesor Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, kualiti data tersebut bakal menentukan ketepatan unjuran yang dilakukan oleh pihak KKM.

Iklan
Iklan

"Saya percaya pandangan daripada pakar-pakar yang lebih arif berkaitan wabak atau penyakit berjangkit ini dalam membuat unjuran mengenai bagaimana keadaan penyakit ini.

"Kalau kita lihat daripada data yang diumumkan daripada KKM ini, pakar berpendapat mungkin empat minggu ini belum tentu cukup untuk membolehkan kita kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini.

Iklan

"Ada juga yang menyatakan bahawa sekurang-kurangnya enam minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan bagi melihat keadaan sebenar. Ini dapat kita fahami berdasarkan bilangan kes yang berlaku setiap hari," katanya pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-163 Pandemik Covid-19: Antara Sains dan Amaran ALLAH malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa, jumlah kes harian yang diumumkan tidak stabil dan bilangan tersebut bukanlah jumlah sebenar bagi hari tersebut.

Iklan

"Kita berdepan dengan masalah daripada sudut kecepatan diagnosis. Jika tempoh pengesahan maklumat ada kelewatan disebabkan faktor banyak sampel yang menunggu pengesahan, ia sebenarnya tidak menggambarkan kes sebenar.

"Ini mempengaruhi bagaimana unjuran berapa lama kita perlu laksanakan PKP ini," katanya.

Jelasnya, secara prinsip, pelbagai pendekatan boleh diambil kerajaan bagi memastikan pergerakan rakyat selepas PKP ini tamat sama ada dengan membenarkan pergerakan terkawal di kawasan hijau dan pengehadan dipertingkatkan di kawasan-kawasan merah.

"Kalau nak pastikan benar-benar bebas, kita perlu tunggu sekurang-kurangnya 14 hari selepas tiada kes dilaporkan namun begitu, ia mungkin sukar dan saya percaya KKM serta kerajaan mempunyai pendekatan lebih baik.

"Kesan daripada PKP cukup besar bukan sahaja kepada soal keselamatan malah ekonomi.

"Kerajaan perlu melihat bagaimana kaedah terbaik menangani situasi memutuskan penularan jangkitan ini sama ada tunggu benar-benar putus atau berperingkat-peringkat dengan kawasan bermasalah diberikan perhatian serius," katanya.

Tolak teori konspirasi, selesaikan masalah Covid-19 terlebih dahulu

Mengulas lanjut, Lokman berkata, banyak pihak bercakap tentang teori konspirasi dengan mendakwa Covid-19 ini dicipta dan ada pihak cuba mengambil kesempatan tetapi isu lebih penting sebenarnya ialah bagaimana untuk menyelesaikan pandemik virus tersebut di seluruh dunia.

Beliau berpandangan bahawa teori konspirasi diwujudkan atau dibangkitkan pihak tertentu yang cenderung ke arah pendapat sedemikian, sambil memberitahu teori berkenaan bukan hanya boleh melibatkan isu Covid-19, malah isu kehilangan pesawat MH370 juga turut dikaitkan dengan teori konspirasi.

"Dalam sains, ada cara untuk kita tentukan sama ada ia dicipta atau ia wujud secara semula jadi.

"Sebagai contoh virus ini boleh dikaji mengikut urutan RNA dan membandingkan dengan apa yang ada dalam pengetahuan saintis dunia," katanya.

Beliau berkata, hampir semua negara di dunia berdepan dengan penularan wabak Covid-19 dan semua pihak sedang bertungkus-lumus menyelesaikan masalah tersebut.

Sehubungan itu katanya, beliau tidak melihat wujudnya individu tertentu yang cuba memulakan masalah yang mungkin menyebabkan dia sendiri berdepan dengan perkara itu.

"Hampir semua negara termasuk negara-negara maju menghadapi masalah.

"Kita perlu sedar bahawa dunia sedang berdepan dengan kesukaran ini," katanya.