SHAH ALAM - Kerajaan perlu menjelaskan hasil penjimatan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar seperti inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) agar rakyat dapat memahami manfaat yang diperoleh daripada langkah tersebut.
Pengasas EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, setakat ini penjimatan tersebut hanya dilihat dalam bentuk anggaran dan belum dapat dibuktikan secara nyata.
“Anggaran penjimatan melalui inisiatif BUDI95, kita tak nampak lagi yang sebetulnya. Mungkin dalam masa tiga bulan, enam bulan akan datang kita boleh lihat.
“Harapnya kerajaan juga beritahu hasil penjimatan itu digunakan untuk apa supaya rakyat nampak. Seperti apa yang dilakukan di Indonesia, mereka keluarkan subsidi tetapi ada bantuan lain yang jelas diberikan,” katanya dalam Program Wacana yang bertajuk Subsidi Bersasar: Cegah Tiris, Tingkat Hasil yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Rabu.
Panelis lain yang turut serta ialah Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Indrani Thuraisingham.
Menurut Rais Hussin, dalam konteks Malaysia, rakyat mengutamakan lima perkara asas dalam kehidupan iaitu pengurangan kos sara hidup, pendidikan, penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan, rumah mampu milik serta peluang pekerjaan dengan gaji bermaruah.
Beliau berkata, kelima-lima perkara itu merupakan tunjang kehidupan rakyat yang tidak boleh diabaikan oleh kerajaan.
“Akhirnya apa yang rakyat mahu ialah sesuatu yang mereka boleh rasa atas meja makan mereka. Itu yang penting,” katanya.
Dalam masa sama, Rais menegaskan komunikasi kerajaan dengan rakyat perlu diberi perhatian agar sebarang dasar tidak disalah erti dan mengelak persepsi negatif khususnya di media sosial.
“Memang tidak ada negara atau kerajaan yang sempurna. Lebih-lebih lagi kerajaan sekarang mewarisi banyak liabiliti daripada pentadbiran terdahulu.
“Mereka perlu bekerja keras dan lebih penting mendengar daripada penasihat yang memahami denyut nadi rakyat, bukan penasihat elitis yang tidak pernah merasa kesusahan,” jelasnya.