U-turn yang patut Alexander Nanta Linggi buat

Iklan
Kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan, khususnya di persimpangan lampu isyarat Bukit Raja yang didapati semakin kritikal terutama pada waktu puncak. Gambar hiasan

BARU-baru ini Sinar Harian membuat tinjauan mengenai kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan, khususnya di persimpangan lampu isyarat Bukit Raja yang didapati semakin kritikal terutama pada waktu puncak.

Berdasarkan tinjauan dibuat Sinar Harian, persimpangan dikenali sebagai traffic light 199 itu menjadi tumpuan utama kenderaan kerana ia merupakan laluan penting yang menghubungkan kawasan Shah Alam ke Setia Alam, Meru dan Kapar.

Iklan
Iklan

Keadaan tersebut menyebabkan aliran trafik menjadi sangat perlahan terutama pada waktu puncak diantara jam 7 hingga 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

Situasi ini menunjukkan bahawa pengguna jalan raya berdepan dengan kesesakan yang boleh mencecah sehingga empat jam sehari.

Iklan

Satu daripada penyelesaian terhadap masalah kesesakan tersebut ialah menerusi pembukaan Seksyen 4 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Namun ia masih belum boleh dibuka sepenuhnya kerana Seksyen 3 yang menghubungkan persimpangan bertingkat SAE (KESAS) ke Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) serta Lebuhraya Persekutuan masih dalam pembinaan dan belum siap.

Iklan

Bagaimanapun, sementara ia dapat dibuka sepenuhnya, terdapat cadangan untuk melaksanakan U-turn (pusingan U) sementara di Seksyen 4, bagi memberikan kemudahan kepada pengguna jalan raya.

Jadi dengan pusingan U sementara yang dicadangkan itu akan memberikan manfaat besar kepada pengguna dari Shah Alam, Subang dan Petaling Jaya atau sekitar Lembah Klang untuk mengelakkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan dan menuju ke utara dengan mudah.

Sementara pengguna dari utara seperti Perak, Meru dan Klang, Selangor turut mendapat manfaat serta mengelakkan daripada terjebak dalam kesesakan.

Difahamkan, semua aspek keselamatan dan teknikal telah pun diteliti serta mendapat kelulusan sewajarnya bagi pelaksanaan tersebut.

Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa dan kerajaan berhubung cadangan pusingan U tersebut.

Jadi saya mencadangkan supaya papan tanda besar dinaikkan di kawasan tersebut dengan mengatakan ia hanyalah sementara sahaja supaya pengguna tahu mereka akan dapat menikmati lebuh raya itu apabila Seksyen 4 dibuka sepenuhnya tidak lama lagi.

Bagi saya pengguna dan rakyat boleh memahami tentang terma 'sementara' itu jika ia menjadi satu masalah besar oleh pihak berkuasa.

Bagi saya sekiranya Kementerian Kerja Raya (KKR) memikirkan kepentingan rakyat dan mahu rakyat menjalani kehidupan selesa, bolehlah mempertimbangkan pelaksanaan pusingan U sementara itu.

Ini adalah satu-satunya pusingan U atau U-turn yang tidak akan mendapat kemarahan rakyat malah menggembirakan semua pihak.

Tambahan pula dengan cuaca yang tidak menentu sekarang menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas menjadi semakin kritikal.

Jadi Yang Berhormat Datuk Seri Alexander Nanta Linggi buatlah keputusan yang betul demi rakyat.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian