“ITULAH orang kita. Bila pencen, terus nak berkebun dan berehat di rumah. Tak betul begitu."
Kata-kata Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali itu masih segar dalam ingatan saya walaupun ia dilontarkan hampir dua dekad lalu.
Ketika itu sekitar 2007 atau 2008. Menurut Dr Hasmah, persaraan bukan alasan untuk berhenti menyumbang kepada masyarakat.
"Bila pencen, orang masih boleh membaca, membantu masyarakat dan melakukan perkara bermanfaat. Jangan berhenti hanya kerana tiada lagi tanggungjawab rasmi," katanya.
Pesanan itu saya dengar sendiri ketika bersama bekas Editor Sinar Harian, Allahyarham Mazlinda Md Noor dalam satu sesi wawancara eksklusif bersama Dr Hasmah di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur.
Pada waktu itu, anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedang mula mencipta nama dalam politik dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum 2008 yang akhirnya menyaksikan beliau memenangi kerusi Parlimen Jerlun.
Sebagai media yang sentiasa mencari sudut berbeza, kami amat bersyukur apabila Dr Hasmah bersetuju meluangkan lebih sejam untuk berkongsi pandangan dan pengalaman.
Bagi saya yang ketika itu masih sebagai wartawan muda, peluang menemu bual tokoh berusia 82 tahun itu tentunya sesuatu yang cukup mengujakan dan boleh dijadikan portfolio masa depan.
Mengimbas kisah pagi 20 tahun lalu, sebaik tiba di pejabat beliau di Yayasan Albukhary, kami dibawa ke tingkat paling atas bangunan berkenaan. Kehadiran anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia yang mengawal keselamatan di situ menggambarkan betapa pentingnya individu yang berpejabat di situ.
Pejabat Dr Hasmah terletak di sebelah kanan pintu masuk, manakala pejabat suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di hadapan ruang utama.
Namun suasana formal itu segera bertukar mesra apabila kami disambut dengan senyuman lembut Dr Hasmah yang menanti kehadiran kami.
Beliau mengenakan baju kurung dan rantai mutiara yang cukup sinonim dengan imejnya sepanjang hayat. Ringkas, kemas dan penuh elegan.
Di penghujung sesi, suasana menjadi lebih santai. Saya mengambil peluang bertanya sesuatu yang agak peribadi.
"Tun, anak-anak Tun semuanya berjaya. Ada yang bergelar jutawan. Boleh Tun tunjukkan beg tangan yang selalu Tun gunakan?"
Dr Hasmah hanya tersenyum. Beliau kemudian memusingkan kerusi, mengambil beg tangannya dan menunjukkannya kepada kami.
Saya agak terkejut. Beg tangan itu bukanlah jenama mewah yang luar biasa mahal. Malah, ia mungkin mampu dimiliki oleh seorang bekerja sebagai kerani. Begitu juga dengan jam tangannya.
Menurut Dr Hasmah, Dr Mahathir tidak menggalakkan pembaziran.
Saya dan Allahyarham Kak Linda hanya tersenyum mendengar jawapan tersebut dan itulah kenangan yang masih saya simpan sehingga hari ini.
Sosok wanita berusia lebih 80 tahun yang saya jumpa ketika itu kekal dengan imej sederhana hingga akhir hayatnya.
Selepas pertemuan itu, saya tidak lagi berpeluang mengadakan sesi wawancara khas bersama Dr Hasmah. Kali terakhir saya terlibat secara dekat ialah ketika mengiringi beliau menghadiri Majlis Iftar Ala Madinah @ Karangkraf pada tahun lalu. Ketika itu usia beliau sudah hampir memasuki satu abad.
Penglihatannya juga semakin terhad dan hanya mampu melihat bayang-bayang, sekali gus mengehadkan pergerakannya, tetapi kelembutan, kesederhanaan dan keperibadian beliau tetap tidak berubah.
Namun pada 28 September lalu segalanya telah berubah, negara akhirnya kehilangan permata yang amat berharga apabila Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN).
Pemergiannya bukan sekadar kehilangan seorang isteri kepada negarawan, tetapi juga seorang wanita luar biasa yang menjadi lambang kesederhanaan, kebijaksanaan dan khidmat kepada masyarakat.
Saya hanya sempat bertemu dan mewawancara beliau sekali. Walaupun dalam tempoh tidak sampai dua jam itu, Dr Hasmah meninggalkan satu pengajaran mendalam buat saya hingga hari ini iaitu ‘hidup biarlah bersederhana’. Al Fatihah buat arwah.
*Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian