BANGKOK - Kesilapan terjemahan pada sebuah papan tanda rasmi di kawasan perlindungan hidupan liar di wilayah Sisaket mencetuskan perhatian meluas dalam kalangan pengguna media sosial Thailand selepas video mengenainya tular sejak 2 Mei lalu.
Menurut laporan Thaiger, papan tanda tersebut memaparkan frasa bahasa Inggeris 'Hunting zone' (zon memburu), sedangkan teks asal dalam bahasa tempatan jelas merujuk kawasan itu sebagai zon larangan memburu.
Isu berkenaan didedahkan oleh pengguna Facebook, Boonprakong Maxso, yang berkongsi rakaman video sambil menegur kesilapan tersebut.
Dalam kapsyen video, dia menyatakan kesilapan bahasa Inggeris boleh difahami kerana bukan bahasa ibunda, namun menegaskan terlalu banyak papan tanda rasmi menggunakan terjemahan yang salah.
Rakaman tersebut turut memaparkan logo Pejabat Pentadbiran Subdaerah Kut Salao di daerah Kantharalak, yang dipercayai bertanggungjawab memasang papan tanda itu.
Sehingga kini, video berkenaan telah meraih lebih 20,000 reaksi dan hampir 2,000 komen, dengan majoriti pengguna mengkritik tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai berkaitan serta menggesa pembetulan segera dilakukan.
Seorang pengguna media sosial turut menyindir bahawa papan tanda itu seolah-olah memberi maksud hanya rakyat tempatan dilarang memburu, manakala warga asing dibenarkan.
Boonprakong dalam perkembangan lanjut memaklumkan, dia berasa malu dengan kesilapan tersebut dan bercadang untuk mengunjungi pejabat pentadbiran bagi mengemukakan permohonan pembetulan sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa tempatan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu atau mengesahkan sama ada pembetulan akan dilakukan.
Insiden ini menambah kepada beberapa kesilapan terjemahan pada papan tanda rasmi di Thailand sejak kebelakangan ini.
Pada 2022, papan iklan bagi sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lebuhraya Chalong Rat menerima kecaman selepas perkataan 'Welcome' dieja sebagai 'Welcom'.
Pada 2023, satu lagi kes dilaporkan di wilayah Trang apabila papan tanda arah ke Lapangan Terbang Trang menggunakan frasa fonetik 'Thaagard Sayaithang' terjemahan bahasa Inggeris yang tepat.