JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat dakwaan penipuan akademik membabitkan sekumpulan penyelidik negara itu yang dipercayai memalsukan identiti, menyalahgunakan nama penyelidik lain dan didakwa menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kajian palsu untuk mendapatkan geran menghadiri persidangan saintifik di luar negara.
Kes itu mencetuskan perhatian meluas selepas seorang penyelidik Indonesia yang menghadiri Persidangan Ke-14 International Society on Pneumonia and Pneumococcal Diseases (ISPPD-14) di Copenhagen, Denmark pada Mei lalu mengesan beberapa kejanggalan ketika sesi pembentangan.
Penyelidik dari Universiti Oxford, Wa Ode Dwi Daningrat berkata, beliau mula curiga apabila seorang wanita memperkenalkan dirinya menggunakan beberapa identiti berbeza ketika membentangkan hasil penyelidikan.
Wanita itu pada mulanya memperkenalkan diri sebagai Riana Dwi Kurniawati sebelum muncul kira-kira 10 minit kemudian menggunakan nama Dimas Fajar Prasetyo, iaitu nama lelaki, bagi membentangkan kajian lain.
Menurut Wa Ode Dwi, tindakan bertukar tanda nama dan identiti sedemikian adalah luar biasa dalam mana-mana persidangan akademik.
Beliau kemudian menghadiri satu lagi pembentangan oleh individu sama pada keesokan harinya, namun wanita berkenaan kali ini memperkenalkan dirinya sebagai Prihantini.
Semasa sesi soal jawab, wanita itu gagal menjawab soalan asas berkaitan penyelidikannya yang dikemukakan oleh Pengarah Program Pneumonia Gates Foundation, Keith Klugman.
Apabila diminta menjelaskan data kajian selepas sesi berakhir, wanita tersebut mengakui tidak mengetahui butiran penyelidikan itu dan mendakwa semua data dihasilkan oleh individu dikenali sebagai Rifaldy Fajar.
Penjelasan itu menimbulkan lebih banyak persoalan kerana nama Rifaldy dan Prihantini langsung tidak tersenarai sebagai penulis kajian berkenaan.
Wa Ode Dwi berkata, wanita itu turut mendakwa beliau tidak menerima geran perjalanan persidangan, sebaliknya menggunakan geran milik Riana Dwi Kurniawati.
Bagaimanapun, semakan dengan pihak penganjur mendapati empat individu iaitu Dimas Fajar Prasetyo, Aminatus Saadah, Riana Dwi Kurniawati dan Prihantini masing-masing menerima geran perjalanan bagi menghadiri persidangan tersebut.
Beliau kemudian mengemukakan aduan rasmi kepada penganjur pada 19 Mei lalu.
Siasatan yang lebih meluas bersama penyelidik Universiti Exeter, Ida Bagus Mandela Brasica, turut menimbulkan syak bahawa sebahagian atau keseluruhan data penyelidikan tersebut mungkin direka menggunakan AI.
Mereka mendapati beberapa kajian menggunakan data daripada pelbagai negara tanpa melibatkan penyelidik tempatan, sesuatu yang dianggap hampir mustahil dalam amalan penyelidikan antarabangsa.
Media Indonesia melaporkan Rifaldy kemudian mengakui menggunakan AI untuk memalsukan penyelidikan selain memohon maaf kerana mendakwa mempunyai kaitan dengan Universiti Muhammadiyah Bulukumba.
Susulan pendedahan itu, warganet mula meneliti rekod persidangan antarabangsa lain dan mendakwa kumpulan sama mungkin melakukan penipuan serupa di banyak persidangan luar negara.
Malah, satu hantaran media sosial yang dikaitkan dengan Rifaldy mendakwa beliau menaiki lebih 200 penerbangan dalam tempoh dua tahun, walaupun dakwaan itu belum dapat disahkan secara bebas.
Menurut Ida Bagus, jika benar penipuan sedemikian berlaku berulang kali, ramai penyelidik Indonesia yang layak berkemungkinan kehilangan peluang menghadiri persidangan antarabangsa kerana geran perjalanan telah diperoleh melalui penyelidikan palsu.
Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai pencabulan serius terhadap integriti akademik.
Sementara itu, Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia (BRIN) memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi serta Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) sedang menjalankan siasatan.
Timbalan Penyelidikan dan Kemudahan Inovasi BRIN, Agus Haryono berkata, empat individu yang dikaitkan dengan kes berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Katanya, mereka merupakan graduan ijazah sarjana muda UNY antara tahun 2019 hingga 2021 sebelum menyambung pengajian sarjana di universiti lain.
Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Brian Yuliarto turut mengesahkan semua individu terbabit telah dipanggil, manakala pihak penguat kuasa kini sedang meneliti kemungkinan pertuduhan undang-undang terhadap mereka.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil supaya kes tersebut menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Pihak penganjur ISPPD pula mengesahkan telah menerima aduan berhubung insiden berkenaan dan sedang meneliti senarai abstrak serta geran perjalanan yang diberikan kepada peserta dari Indonesia. -Agensi