TAPAH - Hasrat seorang warga emas untuk mendapatkan katil perubatan terpakai bagi memudahkan penjagaan suaminya yang terlantar bertukar menjadi kegembiraan apabila menerima sumbangan katil baharu melalui program Ziarah Kasih di Kampung Lubuk Mas, Chenderiang.
Rosida Abdullah Sani, 61, berkata, dia tidak menyangka permohonannya itu mendapat perhatian segera selepas suaminya, Syed Rezuan Syed Husin, 70, dibenarkan pulang dari hospital akibat patah kaki kiri dua hari lalu.
Menurutnya, suaminya yang menghidap demensia sejak tiga tahun lalu kini bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk urusan harian.
“Syukur sangat, saya ingat dapat katil terpakai pun sudah memadai, tak sangka dapat yang baharu.
“Keadaan suami makin teruk selepas jatuh, jadi katil ini sangat membantu untuk urusan makan, mandi dan pergerakannya,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Rosida berkata, dia menjual kuih-muih secara kecil-kecilan dengan pendapatan sekitar RM50 sehari, selain dibantu enam anaknya yang telah bekerja dan berkeluarga.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng berkata, program Ziarah Kasih dilaksanakan secara bulanan dengan fokus utama membantu pesakit terlantar yang memerlukan keperluan seperti katil, kerusi roda dan tongkat.
“Untuk minggu ini, kita ada lima kes di sekitar Lubuk Mas, Lata Kinjang dan Chenderiang yang memerlukan bantuan peralatan perubatan.
“Kita akan turun sendiri melihat keadaan pesakit dan mengenal pasti keperluan mereka sebelum menyalurkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, anggaran perbelanjaan bagi bantuan bulan ini mencecah kira-kira RM5,000 dan disumbangkan menggunakan peruntukan wakil rakyat sebagai usaha segera membantu pesakit sementara menunggu bantuan agensi berkaitan.
“Kebiasaannya kita akan salurkan maklumat kepada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal, namun dalam sesetengah kes, prosesnya mengambil masa.
“Jadi sebagai wakil rakyat, kita bantu dahulu untuk ringankan beban pesakit dan waris,” katanya.
Tambah beliau, maklumat pesakit diperoleh melalui kerjasama ketua cawangan, ketua pemuda serta pasukan khidmat masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Kita akan teruskan inisiatif ini bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya," katanya.