Jarak 700km menguji kasih dan nyawa

Iklan
Pemergian Azman Mani pada Sabtu lalu tersembunyi sebuah kisah panjang tentang pengorbanan, tanggungjawab dan kasih seorang lelaki terhadap keluarganya.

PEMERGIAN seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, Azman Mani pada Sabtu lalu bukan sekadar menambah lagi statistik kemalangan jalan raya.

Di sebalik angka itu, tersembunyi sebuah kisah panjang tentang pengorbanan, tanggungjawab dan kasih seorang lelaki terhadap keluarganya, kisah yang sebenarnya mewakili ribuan rakyat Malaysia lain yang menjalani kehidupan perkahwinan jarak jauh (PJJ).

Iklan
Iklan

Azman bukan sekadar berulang-alik. Beliau menempuh perjalanan lebih 700 kilometer (km) menaiki motosikal dari Depot Imigresen Papar, Sabah ke Sibu, Sarawak tempat isteri dan anak-anak menunggu dan ke Miri untuk menziarahi ibunya.

Perjalanan itu bukan sahaja jauh, malah merentas sempadan negara melalui Brunei. Ia bukan pilihan, tetapi tanggungjawab yang dipikul setiap minggu.

Iklan

Lebih menyentuh hati, menurut perkongsian sahabatnya S Faizzul Syar di Facebook, arwah sebenarnya telah berusaha untuk menamatkan episod perjalanan panjang itu.

Permohonan pertukaran lebih dekat dengan keluarga telah dibuat, malah mendapat sokongan di peringkat negeri.

Iklan

Namun, seperti banyak kisah dalam sistem, ia tersekat di meja kelulusan ibu pejabat. Harapan untuk merapatkan jurang dengan keluarga akhirnya tidak kesampaian.

Hakikatnya, kisah Azman bukan luar biasa. Inilah realiti sebenar ramai rakyat Malaysia. Mereka sanggup menelan rasa penat, menempuh risiko di jalan raya, mengorbankan masa, wang dan tenaga demi memastikan keluarga tidak terpisah sepenuhnya. Jarak mungkin jauh, tetapi kasih tetap dekat.

Penulis sendiri mengenali seorang rakan yang setiap hari menunggang motosikal ulang-alik hampir 300km dari Sungai Besar, Selangor ke Bentong, Pahang. Seawal Subuh sudah bertolak, malam pula tiba kembali ke rumah.

Alasannya mudah, tetapi berat. Isterinya juga mencari nafkah membantu keluarga, anak masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ayah. Maka dia memilih untuk ulang-alik walaupun sedar setiap perjalanan ada risiko.

Syukur selepas berkali-kali memohon, akhirnya berjaya bertukar dan kini bertugas lebih dekat dengan keluarga.

Ada yang mungkin menganggap ini tindakan tidak rasional seolah-olah sengaja mengundang bahaya. Namun di sinilah terletaknya kekuatan ketua keluarga sebagai pejuang rezeki.

Mereka bukan tidak penat, tetapi memilih untuk terus bergerak kerana di hujung perjalanan itu ada wajah-wajah yang disayangi untuk terus bertahan.

Hakikatnya, tiada siapa yang benar-benar rela hidup berjauhan dengan keluarga. Tiada ayah yang mahu melihat anak membesar dari jauh. Tiada suami yang mahu sekadar mendengar suara isteri di telefon. Namun, tuntutan kerja, kekangan sistem dan realiti kehidupan memaksa mereka memilih jalan yang paling sukar.

Sebab itu, apabila ada permohonan pertukaran yang telah lama tertangguh, ia bukan sekadar fail di atas meja. Ia harapan sebuah keluarga. Ia doa seorang anak yang mahu ayahnya pulang lebih awal juga rintihan seorang isteri yang menunggu tanpa kepastian.

Ketua jabatan dan pihak berkaitan perlu lebih peka. Permohonan yang wajar harus dipertimbangkan dengan lebih empati dan keutamaan. Jangan biarkan pengorbanan ini berpanjangan sehingga meragut nyawa.

Kita tidak mampu mengundurkan masa untuk Azman. Namun kita masih mampu mengelakkan tragedi sama daripada berulang. Jangan biarkan ada lagi perjalanan sejauh 700km berakhir dengan kehilangan.

Al-Fatihah buat Azman, seorang suami, anak dan wira pejuang rezeki yang gugur di jalan pulang.

*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian