'Sampai bila kami nak hadap isu ini'

Iklan
Pergerakan kenderaan memasuki salah sebuah penempatan didiami warga asing di sini.

SHAH ALAM - 'Warga tempatan terpaksa bayar sewa tapi 'orang luar' boleh duduk percuma,'.

Itu antara luahan penduduk berdekatan kawasan didakwa menjadi penempatan warga asing secara haram di Setia Alam di sini.

Iklan
Iklan

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Shah berkata, kewujudan perkampungan haram didiami warga asing seharusnya memerlukan tindakan berterusan pihak berkuasa.

"Kita lihat warga asing sewenangnya bina rumah, bina penempatan, tapi kita warga tempatan, kena keluar duit untuk sewa rumah dan sebagainya, perkara ini amat tidak adil.

Iklan

Pergerakan kenderaan memasuki salah sebuah penempatan didiami warga asing di sini.

"Memang serbuan dan operasi pernah dijalankan, kalau boleh pastikan penempatan haram ini tidak wujud lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Razak berkata, kawasan ini seolah olah didominasi oleh warga asing yang tinggal di tiga lokasi ini.

"Asalnya kawasan di sekitar Jalan Hamzah ini dibina berdekatan dengan laluan, tapi lihat sekarang ini sudah tiada, saya sangkakan memang ia terus tiada.

"Rupa-rupanya masih wujud lagi penempatan warga asing ini, ia dibina di lokasi sama namun kedudukannya jauh sedikit ke dalam," katanya.

Kenderaan dilihat diletakkan di kawasan salah sebuah penempatan di sini.

Seorang individu dikenali sebagai Ayu berkata, kenderaannya beberapa kali hampir melanggar individu dipercayai warga asing di Jalan Persiaran Setia Makmur.

"Mereka ini tinggal di kawasan hutan kelapa sawit betul-betul tepi jalan, ada beberapa kali mereka lintas jalan macam tu saja, memang bahaya, saya juga hampir melanggar mereka.

"Saya tinggal di pangsapuri sekitar kawasan ini, jadi jalan ini saya gunakan setiap hari, entah sampai bila nak hadap perkara sebegini," katanya.

Sebelum ini tular hantaran di media sosial mendakwa penempatan haram yang telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa ini masih wujud.

Rata-rata orang ramai meluahkan kekesalan terhadap situasi ini dan mengharapkan tindakan tegas diambil pihak berkuasa bagi memastikan kawasan berkenaan ditutup sepenuhnya.