TOKYO – Jepun memperkenalkan istilah baharu 'kokushobi' bagi menggambarkan cuaca dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius atau lebih di negara itu, lapor BBC.
Istilah 'kokushobi' yang diperkenalkan itu diterjemahkan sebagai 'sangat panas', 'terlampau panas' atau 'panas kejam' oleh media tempatan dan antarabangsa.
Menurut Japan Meteorological Agency (JMA), istilah tersebut dipilih sebagai yang paling popular menerusi satu tinjauan dalam talian, manakala istilah 'super extremely hot day- chomoshobi' berada di tempat kedua.
Tinjauan yang dijalankan pada Februari dan Mac itu menerima kira-kira 478,000 maklum balas, dengan responden diminta memilih istilah paling sesuai daripada 13 pilihan bagi menggambarkan hari paling panas.
Laporan menyebut, istilah 'koku' dalam bahasa Jepun membawa maksud keras atau kejam, digunakan bagi menggambarkan tahap kepanasan melampau.
Sebelum ini, Jepun mempunyai istilah khusus bagi hari bersuhu melebihi 25°C (natsubi) 30°C (manatsubi) dan 35°C (moushubi).
Pengenalan istilah baharu itu dibuat selepas Jepun dilanda gelombang haba luar biasa tahun lalu, dengan musim panas 2025 direkodkan sebagai paling panas sejak rekod bermula pada 1898.
Purata suhu nasional meningkat sebanyak 2.36°C berbanding purata biasa, dengan suhu melebihi 40°C direkodkan selama sembilan hari antara Jun hingga Ogos.
Rekod suhu tertinggi baharu negara itu turut dicatatkan di bandar Isesaki pada 41.8°C.
Jumlah hari panas melampau juga meningkat ketara, melepasi rekod sebelum ini yang dicatatkan pada 2024.
Dalam pada itu, JMA meramalkan kebarangkalian suhu tinggi melebihi paras normal di Jepun bagi tempoh Jun hingga Ogos tahun ini.