SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pemilik sebuah bengkel motosikal di Senawang di sini mengalami kerugian dianggarkan RM60,000 selepas premis itu dipecah masuk dalam kejadian Isnin lalu.
Dalam kejadian terbabit, enam buah motosikal jenis Yamaha RXZ milik pelanggan dan beberapa alat ganti motosikal hilang dipercayai telah dicuri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada pemilik bengkel pada jam 1 pagi.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, bengkel itu telah dipecah masuk dan terdapat beberapa kesan umpil pada bahagian pengatup besi, kesan pecah pada lantai serta kesan darah di beberapa kawasan dalam bengkel.
"Siasatan juga mendapati enam buah motosikal jenis Yamaha RXZ milik pelanggan yang diletakkan di dalam bengkel, sebuah topi keledar jenis Shoie dan MS88 serta alat ganti motosikal telah tiada disyaki dicuri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, kesemua motosikal yang hilang mempunyai kunci yang ditinggalkan pada kenderaan dan nombor pendaftarannya adalah BRD 135, WVG 3923, JBS 1450, CAL 8555, NBQ 275 dan NAW 8927.
Ujarnya, kejadian dipercayai berlaku semasa pemilik bengkel tiada dan ditinggalkan dalam keadaan berkunci.
"Kes dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau terjumpa motosikal tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superitenden Mohd Zawahir Zainuddin di talian 019-771 9434 atau 06 679 2222 bagi membantu siasatan," katanya.