SHAH ALAM - Segala bentuk drama dan filem yang mempromosikan budaya buli secara tidak langsung atas alasan memberikan pengajaran kepada penonton perlu dihentikan kerana dikhuatiri mencetuskan perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kandungan sedemikian dikhuatiri memberi pengaruh negatif terhadap golongan muda.
“Hentikanlah segala bentuk drama atau filem yang mempromosikan buli secara tidak langsung atas nama ‘pengajaran’ yang akhirnya membawa kepada perlakuan ‘copycat’ dalam kalangan anak muda berlagak kapla, taiko, otai dan sebagainya,” katanya menerusi hantaran Threads pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar lelaki ditemui meninggal dunia di asrama sekolah dipercayai dibuli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Pemimpin politik desak siasatan segera dakwaan buli
Pelajar meninggal dunia di asrama: Fadhlina sahkan seorang pelajar ditahan
Pelajar meninggal dunia di asrama: Polis siasat kes bunuh, tahan remaja 16 tahun
Gesaan itu dibuat susulan kejadian Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) pada Jumaat malam.
Mangsa yang berasal dari Gemencheh itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.