Tiga kenderaan kemalangan, seorang kena serangan jantung gara-gara elak buah sawit terabur

Iklan
Pasukan bomba cuba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Simpang 4 Kalumpang, Semporna.

SEMPORNA - [DIKEMAS KINI] Tindakan tiga kenderaan cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di atas jalan dipercayai punca kemalangan di Simpang 4 Kalumpang di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah, seorang wanita mengalami masalah jantung manakala empat lagi mangsa dilaporkan cedera ringan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari BBP Semporna.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi, kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu dua pacuan roda jenis Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

"Lori berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau, manakala tiga kenderaan terbabit yang turut menuju ke arah sama dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di atas jalan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Simpang 4 Kalumpang, Semporna.

Katanya, kemalangan itu melibatkan tujuh mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita.

"Tiga mangsa wanita mengalami kecederaan ringan, manakala seorang lagi mengalami masalah jantung.

"Seorang mangsa yang juga pemandu Isuzu D-Max tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah, seorang lagi cedera ringan, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Susulan kejadian itu katanya, pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera parah sebelum membawanya ke Hospital Semporna.

"Pasukan bomba turut membantu mengangkat mangsa wanita yang juga penumpang MPV mengalami masalah jantung ke ambulans untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mangsa yang memerlukan rawatan kemudian dibawa ke Hospital Semporna," katanya.

Zainal berkata, pasukannya turut menjalankan operasi pembersihan sisa minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca di atas permukaan jalan.

"Operasi ditamatkan pada jam 12.36 tengah hari selepas memastikan tiada bahaya lain dan keadaan jalan selamat untuk digunakan," katanya.