DUSHANBE-Kedutaan Iran di Tajikistan mencetuskan kontroversi antarabangsa selepas berkongsi satu video janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan watak Nabi Isa menyerang Presiden Donald Trump, sekali gus mencetuskan reaksi meluas di media sosial.
Video berkenaan dimuat naik di platform X dan memaparkan adegan yang menunjukkan watak tersebut memukul Trump sebelum beliau digambarkan terjatuh ke dalam api.
Rakaman itu dilaporkan telah ditonton jutaan pengguna dalam tempoh singkat selepas dimuat naik, sekali gus menjadi tular di internet.
Perkongsian tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada perang naratif digital antara pihak berkaitan Iran dan Amerika Syarikat, susulan ketegangan yang semakin meningkat akibat konflik di Asia Barat.
Tindakan itu juga dipercayai sebagai reaksi terhadap satu imej AI sebelum ini yang dikaitkan dengan Trump, yang menggambarkan dirinya menyerupai figura keagamaan.
Pemerhati menyifatkan perkembangan itu sebagai petunjuk bagaimana teknologi AI kini bukan sahaja digunakan dalam aspek ketenteraan, malah menjadi alat propaganda dan serangan psikologi di ruang siber.
Penggunaan meme, video AI dan kandungan digital sebagai alat komunikasi semasa konflik bukan perkara baharu, namun trend itu semakin ketara sejak konflik Perang Rusia-Ukraine.
Dalam konteks semasa, akaun rasmi berkaitan Iran dilihat aktif menggunakan pendekatan tersebut bagi mempengaruhi persepsi awam terhadap Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, konflik yang tercetus sejak Februari lalu dilaporkan turut menyebabkan kenaikan harga bahan api di Amerika Syarikat, dengan peningkatan lebih 30 peratus sejak serangan dilancarkan ke atas Iran. - Agensi