Tabung Tanjung Puteri Care diwujudkan, gerakkan komuniti bela nasib OKU

Iklan
Mohd Hairi (dua dari kanan) dan Zulkifli (dua dari kiri) ketika menyempurnakan pelancaran Tabung Tanjung Puteri Care.

JOHOR BAHRU - Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tanjung Puteri mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Tanjung Puteri Care bagi memperkukuh sokongan dan bantuan kepada anak-anak orang kurang upaya (OKU) di bandar raya ini melalui penglibatan aktif masyarakat serta sektor korporat.

Langkah itu menyasarkan pengumpulan dana daripada orang ramai dan syarikat korporat bagi membiayai pelbagai program pembangunan, pemulihan serta keperluan harian anak-anak OKU di Johor Bahru.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, usaha seumpama itu wajar dijadikan contoh kerana mencerminkan peranan sebenar komuniti setempat dalam membela nasib golongan rentan.

“Inilah usaha yang perlu disokong semua pihak bagi membuktikan bahawa masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama dalam membantu golongan seperti ini.

Iklan

“Kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin setempat dan sektor swasta amat penting dalam memastikan kebajikan anak-anak OKU terus terpelihara secara mampan,” katanya.

Sebelum itu, Mohd Hairi yang juga Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor menyempurnakan pelancaran tabung tersebut dalam satu majlis.

Iklan

Ketika majlis berkenaan beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada pejabatnya bagi menyokong pelaksanaan tabung terbabit.

Sementara itu, Pengerusi PDK Tanjung Puteri, Datuk Zulkifli Bujang menjelaskan, pelancaran tabung berkenaan merupakan satu langkah yang strategik untuk memastikan kesinambungan sokongan kepada golongan berkeperluan khas, khususnya dalam aspek pendidikan, terapi dan kesejahteraan hidup.

"Tabung ini bukan sekadar platform kutipan dana, tetapi satu gerakan komuniti yang mengajak semua pihak untuk bersama-sama memainkan peranan membantu anak-anak OKU agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan bermaruah,” ujarnya.

Inisiatif tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak program inklusif pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh jaringan sokongan sosial untuk komuniti OKU di Johor.