ALOR SETAR – Pemuda yang ditemukan lemas selepas bot dinaikinya terbalik ketika memancing di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah, dikatakan sempat menaikkan ikan toman besar sebelum kejadian.
Mangsa, Muhammad Zulkifli Ahmad Tarmizi, 24, pergi memancing bersama sepupunya, Muhammad Zikri Mohd Izham, 26, dengan menaiki bot yang dipercayai baru dibeli kira-kira sebulan lalu.
Ibu saudara mangsa, Rohana Ismail, 52, berkata, mangsa kelihatan teruja kerana itu kali pertama arwah menaiki bot untuk memancing, berbanding sebelum ini hanya memancing di kawasan bendang.
Menurutnya, semasa kejadian, difahamkan bot itu terbalik menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam sungai sebaik Muhammad Zulkifli baru menaikkan seekor ikan toman besar.
“Pagi Isnin, arwah nampak seronok lain macam kerana tidak sabar untuk mengikut anak saya menaiki bot memancing di sungai.
“Tidak sangka kegembiraan yang ditunjukkan itu menjadi petanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada malam Isnin.
Rohana berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan video daripada anaknya kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, dia yang baru hendak menunaikan solat Asar terkejut apabila Zikri memaklumkan mereka berdua jatuh ke dalam sungai.
“Dia beritahu mangsa tenggelam dan penduduk kampung sedang mencarinya,” ujarnya.
Namun, tidak lama kemudian, jasad mangsa ditemui sebelum dibawa naik ke darat oleh anggota bomba dan penyelamat, manakala anaknya dihantar ke Zon Kuning HSB akibat kecederaan pada kaki.
Kata Rohana, anaknya turut mengalami trauma kerana masih terngiang-ngiang jeritan mangsa yang meminta pertolongan ketika kejadian.
“Arwah dan anak saya memang rapat sejak kecil, malah sering bermalam di rumah nenek mereka di Kuala Sungai.
“Ibu arwah sudah lama meninggal dunia, sebab itu dia rapat dengan anak saya,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Tarmizi Ismail, 53, berkata kehilangan anak tunggalnya itu amat dirasai memandangkan arwah adalah satu-satunya harapan selepas isterinya meninggal dunia.
Menurutnya, kali terakhir dia melihat anaknya adalah kira-kira jam 8.30 pagi pada Isnin ketika pulang dari bekerja di pasar borong.
“Malam sebelum kejadian, dia ada menghantar WhatsApp meminta saya meninggalkan kunci motosikal Honda EX-5.
“Mungkin dia hendak ke rumah neneknya kerana dia selalu ke sana, tetapi saya tidak tahu dia pergi memancing,” katanya.
Menurutnya, dia reda dengan ketentuan itu walaupun kehilangan satu-satunya anak hasil perkahwinan terdahulu.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan lemas manakala sepupunya berjaya menyelamatkan diri selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika memancing di Sungai Kubang Rotan, Kuala Kedah.
Mangsa ditemukan oleh pasukan bomba dan penyelamat tidak lama selepas kejadian.