Kanak-kanak 4 tahun maut diserang harimau bintang, tubuh diseret masuk hutan

Iklan
Kanak-kanak 4 tahun maut diserang harimau bintang, tubuh diseret masuk hutan. Foto: NDTV

INDIA - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dalam serangan harimau bintang di daerah Pauri, Uttarakhand, menurut pegawai polis tempatan pada Jumaat.

Kejadian berlaku sekitar jam 9 malam pada Khamis di kampung Bhatkot di kawasan Pokhra ketika kanak-kanak tersebut, Drishti Rawat sedang makan di rumah bersama kakak dan neneknya.

Iklan
Iklan

Polis memaklumkan, seekor harimau bintang tiba-tiba menyambar mangsa dan mengheretnya lari ke arah hutan.

Penduduk kampung melancarkan usaha pencarian selepas kejadian itu dan mayat mangsa yang cedera parah ditemui kira-kira dua kilometer dari rumah.

Iklan

Pasukan polis dan jabatan perhutanan tiba di kawasan kejadian, namun penduduk kampung yang berang mengadakan protes dengan menuntut kehadiran pegawai kanan serta pada awalnya menghalang pihak berkuasa membawa keluar mayat dari lokasi insiden berlaku.

Pada pagi Jumaat, Majistret Bahagian Kecil Chaubattakhal, Rekha Arya dan pegawai hutan, Mahatim Yadav tiba di kampung tersebut untuk melakukan pos mortem sebelum mayat diserahkan kepada keluarga.

Iklan

Yadav turut bertemu keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa segala bantuan akan diberikan mengikut prosedur.

Jabatan Perhutanan telah memulakan langkah pemantauan menyeluruh terhadap harimau bintang tersebut bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.

Susulan ancaman haiwan itu, cuti berjaga-jaga diisytiharkan untuk sekolah-sekolah di kawasan Pokhra dan Bironkhal.

Pegawai pendidikan daerah tersebut, Manoj Kumar Joshi berkata, berdasarkan arahan Majistret Daerah, Swati S Bhadauria, kesemua sekolah di kawasan terjejas ditutup pada 4 dan 6 April bagi tujuan keselamatan. - Agensi