Anak Allahyarham Amirul Hafiz terima sumbangan keperluan sekolah

Iklan
Riza (kiri) menyerahkan bantuan kepada Nor Nadia ketika ditemui di kediamannya pada Jumaat.

SHAH ALAM – Yayasan Insan Sakan bersama Saloma Kuala Lumpur tampil menghulurkan bantuan kebajikan kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut dirempuh pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, Ahad lalu.

Pengasas Yayasan Insan Sakan dan Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Dr Riza Che Umar berkata, bantuan diberikan diharap dapat membantu meringankan beban Nor Nadia Abdul Majid, 32 yang kini perlu menyara tiga anak mereka berusia antara dua hingga sembilan tahun.

Iklan
Iklan

"Saya datang bagi pihak pasar raya dan juga Saloma Kuala Lumpur untuk bertemu sendiri dengan isteri bagi memahami keperluannya.

“Saya difahamkan anak-anaknya telah diambil di bawah jagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan ada menerima bantuan wang bulanan. Jadi, saya rasa apa turut perlu diberi perhatian adalah keperluan sekolah untuk anak-anak dan keperluan rumah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni Nor Nadia di kediamannya di Pangsapuri Ken Rimba, di sini, pada Jumaat.

Justeru, Riza memaklumkan, pihaknya akan memperuntukkan sejumlah amaun yang membolehkan balu Allahyarham menebus barangan keperluan sekolah anak-anak serta keperluan rumah melalui rangkaian pasar raya berkenaan nanti.

Iklan

Dalam masa sama, katanya, pihak Saloma turut komited membantu dengan menyalurkan sumbangan sekali beri sebanyak RM10,000 kepada keluarga berkenaan.

“Kita faham kesusahan yang dihadapi selepas kehilangan suami. Bantuan itu diharap dapat meringankan beban, termasuk perbelanjaan untuk berpindah ke kampung serta keperluan lain,” ujarnya.

Menurut Riza, pihaknya berharap sumbangan diberikan dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa, selain menjadi tanda bahawa keluarga Allahyarham tidak bersendirian dalam menghadapi ujian berkenaan.

"Keprihatinan dan sokongan komuniti amat penting dalam saat-saat sukar seperti ini," tambahnya lagi.

Sementara itu, Nor Nadia melahirkan rasa syukur dan tidak menyangka menerima bantuan sedemikian.

"Saya tak sangka akan dapat bantuan macam ini. Memang sangat bermanfaat untuk saya dan anak-anak.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Saya sangat bersyukur,” katanya.

Dalam pada itu, kongsi Nor Nadia, dia kini dalam persediaan untuk memulakan kehidupan baharu di Perak bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga.

Menurutnya, buat masa ini, dia sedang menguruskan segala urusan perpindahan termasuk penempatan dan persekolahan anak-anak dalam masa terdekat.

"Barang-barang (diuruskan) nanti. Saya ada banyak urusan lagi di sini, nanti akan datang semula. Pada Jun, saya akan datang untuk ikuti perkembangan kes," kongsinya lagi.