Koerber labur RM95 juta, perkasa Malaysia sebagai hab kejuruteraan teknologi tinggi global

Iklan
Ziesmann (empat dari kanan) dan Stietz (empat dari kiri) ketika majlis pecah tanah fasiliti baharu Koerber Technologies di Shah Alam pada Selasa.

KOERBER Technologies Sdn Bhd, anak syarikat kumpulan teknologi global Koerber, memperkukuh kedudukan Malaysia dalam peta pembuatan dunia melalui pelaburan berjumlah RM95 juta bagi pengembangan fasiliti pembuatannya di Shah Alam.

Langkah strategik itu bukan sahaja bertujuan menggandakan kapasiti pengeluaran, malah bakal menyokong transformasi operasi di negara ini, sekali gus mengangkat peranan Malaysia sebagai pusat kejuruteraan berteknologi tinggi dalam rangkaian pengeluaran global Koerber.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Operasinya, Heiko Ziesmann berkata, projek berkenaan melambangkan komitmen jangka panjang syarikat untuk mengubah ruang pembuatan tradisional kepada ekosistem yang lebih moden dan inovatif.

"Ia adalah langkah penting dalam memperdalam keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan kami, seterusnya memajukan kedudukan Malaysia sebagai hab kejuruteraan berteknologi tinggi di rantau ini.

Iklan

"Kami berharap dapat menyumbang kepada hubungan Malaysia-Jerman dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pertukaran teknologi," katanya pada majlis pecah tanah fasiliti baharu tersebut di Shah Alam pada Selasa.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Persekutuan Jerman di Malaysia, Ulrike Wolf.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd Karim dan Naib Presiden Kanan Operasi Global Koerber Technologies, Michael Stietz.

Tetamu kenamaan menyempurnakan simbolik pelancaran pengembangan fasiliti pembuatan Koerber Technologies di Shah Alam.

Mengulas lanjut, Ziesmann berkata, pengembangan itu akan menyediakan kapasiti untuk menampung pertambahan lebih 200 jawatan baharu secara berperingkat dalam bidang komersial dan teknikal berkemahiran tinggi.

"Pembesaran ini akan mewujudkan peluang baharu untuk teknologi canggih dan laluan kerjaya yang bermakna. Pada masa yang sama, kami kekal komited memupuk bakat tempatan melalui program kerjasama bagi memacu masa depan industri," katanya.

Fasiliti seluas 12,000 meter persegi yang terletak di koridor perindustrian HICOM itu disasarkan siap pembinaan menjelang suku keempat 2026 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2027.

Körber Technologies yang mempunyai pengkhususan dalam pengeluaran menyeluruh (end-to-end) mesin berteknologi tinggi bagi industri makanan dan minuman itu kini memiliki kira-kira 300 kakitangan berkemahiran tinggi di Shah Alam, yang mana 95 peratus daripadanya ialah rakyat tempatan.

Pembangunan itu juga dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap pembuatan berteknologi tinggi dan penyelesaian automasi di seluruh rantau Asia Pasifik.

Dengan peningkatan kapasiti ini, fasiliti di Shah Alam tersebut akan menjadi penyokong utama kepada keperluan rantaian bekalan berketepatan tinggi bagi pasaran serantau dan global.