JOHOR BAHRU – Seramai 36 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Johor mencatat keputusan cemerlang apabila memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Ali @ Zainalabidin Syed Mohamed berkata, jumlah tersebut berkurangan lima calon berbanding 41 pelajar yang mencapai keputusan sama pada SPM 2024.
Menurutnya, seramai 1,573 calon atau 3.73 peratus memperoleh kombinasi A+, A dan A-, meningkat berbanding 1,472 calon pada tahun sebelumnya.
“Seramai 4,405 calon memperoleh sekurang-kurangnya gred minimum B, manakala 7,128 calon mendapat sekurang-kurangnya gred C. Selain itu, 40,121 calon atau 95 peratus layak dianugerahkan sijil,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) Johor bagi SPM 2025 turut menunjukkan peningkatan kepada 4.28 mata berbanding 4.36 mata tahun lalu, sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 mata.
Tambahnya, sebanyak 81 daripada 276 sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus termasuk 70 pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
“Prestasi keseluruhan menunjukkan peningkatan bagi 45 daripada 80 mata pelajaran, manakala 31 menurun dan empat tidak berubah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon cemerlang serta mengingatkan pelajar yang kurang berjaya supaya tidak berputus asa dan terus berusaha mencapai kejayaan.