Myanmar had pembelian minyak secara mingguan

Iklan
Myanmar turut berhadapan krisis kekurangan bahan api. Foto Agensi

NAYPYIDAW – Kerajaan Myanmar akan melaksanakan had pembelian bahan api secara mingguan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan, sebagai langkah mengawal bekalan di tengah tekanan krisis tenaga global.

Kementerian Tenaga dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna hanya dibenarkan membeli minyak sekali seminggu atau maksimum dua kali, bergantung kepada jumlah yang ditetapkan mengikut kuasa enjin kenderaan masing-masing.

Iklan
Iklan

Langkah itu akan dilaksanakan menerusi sistem digital yang menggabungkan kod bar dan kod QR, bagi memastikan pengagihan bahan api lebih teratur serta mengelakkan penyalahgunaan.

Sistem tersebut dijangka mula berkuat kuasa akhir Mac atau seawal April.

Iklan

Menurut kementerian, jumlah pembelian mingguan akan ditentukan secara automatik melalui sistem tersebut, membolehkan pengguna membuat pembelian sama ada dalam satu transaksi atau dipecahkan kepada dua kali dalam tempoh seminggu.

Kerajaan turut memberi jaminan bahawa negara masih mempunyai stok bahan api mencukupi untuk 50 hari, selain meneruskan import secara berkala serta mencari laluan bekalan tambahan.

Iklan

Dalam masa sama, orang ramai diminta tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya melaporkan sebarang penyelewengan kepada pihak berkuasa.

Beberapa stesen minyak dilaporkan telah dikenakan tindakan termasuk penarikan lesen selepas didapati melanggar peraturan.

Langkah kawalan ini diperkenalkan susulan ketidaktentuan bekalan tenaga global akibat konflik berterusan di Asia Barat, yang memberi kesan kepada rantaian bekalan bahan api negara.

Kementerian Tenaga memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan secara rapi bagi memastikan bekalan domestik tidak terjejas dan pengurusan penggunaan bahan api kekal terkawal.

Sejak 12 Mac lalu, sistem pengimbasan kod bar untuk kereta dan kod QR bagi motosikal telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas pengagihan bahan api di seluruh negara. -Agensi