GEORGE TOWN – 11 buah rumah dua tingkat jenis separa kekal di Kampung Din Manbo, Batu Ferringhi di sini musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.29 pagi itu, bomba menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi pada jam 11.45 pagi.
Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Teluk Bahang, BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru dengan kekuatan seramai 23 anggota termasuk penyelia.
"Kebakaran melibatkan 11 unit rumah kelas B dengan anggaran keluasan 40 x 50 kaki persegi setiap satu.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12.21 tengah hari dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Kerja-kerja 'overhaul' sedang dijalankan.
“Setakat maklumat awal, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pasukan bomba berdepan sedikit kesukaran apabila laluan masuk ke lokasi kejadian sempit selain tekanan air yang rendah di kawasan tersebut.
"Operasi turut dibantu pihak polis bagi memastikan kelancaran kawalan di lokasi kejadian.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Maklumat lanjut akan dikemaskini dari masa ke semasa," ujarnya.