ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan bayaran insentif sehingga RM700 juta setahun sebagai pampasan bagi mengekalkan kawasan penanaman padi di negeri itu.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan berkenaan wajar dipertimbangkan mengambil kira pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan sawah padi, selain menyediakan kawasan tadahan air serta infrastruktur pengairan bagi menyokong sektor pertanian.
Menurutnya, Kedah mempunyai 134,000 hektar kawasan penanaman padi yang merangkumi 102,000 hektar dalam kawasan jelapang padi dan 32,000 hektar di luar kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa mekanisme pengiraan telah dicadangkan bagi menentukan kadar insentif yang sewajarnya diberikan kepada negeri yang mengekalkan kawasan pertanian untuk kepentingan negara.
"Saya difahamkan ada kaedah baharu pengiraan untuk pemberat-pemberat yang digunakan bagi menentukan kadar pampasan atau bayaran khas yang wajar.
"Saya dengar ia boleh mencecah RM700 juta setahun untuk pengekalan kawasan padi. Saya harap Kerajaan Persekutuan menerima kaedah itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Negeri, di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, tuntutan insentif fiskal itu bukan perkara baharu kerana sudah disenaraikan sebagai antara inisiatif di bawah Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) dan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUNM).
Malah, katanya, inisiatif berkenaan turut diambil kira dalam Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) serta Draf Kajian Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Jelapang Padi Negeri Kedah.
Menurutnya, sebelum ini Kerajaan Persekutuan memaklumkan tiada mekanisme khusus bagi mengukur kadar insentif yang sewajarnya diberikan kepada negeri yang mengekalkan kawasan pertanian.
Bagaimanapun, katanya, terdapat dua mekanisme pengiraan yang dibangunkan menerusi KAGUNM oleh PLANMalaysia bagi menentukan kadar bayaran berkenaan.
"Kaedah pertama mengambil kira potensi hasil cukai sekiranya tanah sawah ditukar kepada pembangunan komersial yang dianggarkan mampu menjana RM1.7 bilion setahun.
"Jadi, untuk kami kekal sebagai kawasan penanaman padi, bayarlah 10 peratus. Melalui kaedah itu, kita boleh mendapat RM170 juta," katanya.
Beliau berkata, mekanisme kedua pula mengambil kira penjimatan kos import beras oleh kerajaan hasil pengeluaran padi di Kedah yang dianggarkan bernilai antara RM120 juta hingga RM170 juta.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri mencadangkan bayaran RM200 juta berdasarkan mekanisme berkenaan.
Tambah beliau, tuntutan itu bukan hanya melibatkan kawasan sawah padi, sebaliknya turut mengambil kira keperluan mengekalkan kawasan tadahan air, sungai dan terusan bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk pengairan kawasan pertanian.