GEORGE TOWN – Tindakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang terus mempertikaikan Perjanjian Pembekalan Air Pukal (BWSA) antara Pulau Pinang dan Perak tanpa mengemukakan alternatif lebih baik adalah tidak bertanggungjawab.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu juga berpotensi mengelirukan rakyat berhubung keperluan menjamin sekuriti bekalan air jangka panjang negeri ini.
Menurutnya, pelbagai penjelasan mengenai perjanjian berkenaan telah diberikan berulang kali termasuk dalam dua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), taklimat khas oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pekeliling kepada pemegang saham menjelang Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Berhad (PBAHB) pada 12 November lalu.
Malah, katanya, BWSA mendapat sokongan sebanyak 98 peratus daripada undi yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan.
“Dalam serangan berulang kali yang dilakukannya, beliau tidak mengemukakan sebarang alternatif lain.
“Apabila semua sumber air permukaan di Pulau Pinang dimanfaatkan sepenuhnya menjelang 2030, negeri ini tidak lagi mempunyai sumber air mentah baharu,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAHB dan PBAPP berkata demikian bagi menjawab kenyataan Guan Eng pada Rabu yang mempersoalkan komitmen pembayaran RM210 juta setahun selama 40 tahun, bersamaan RM8.4 bilion bagi perjanjian berkenaan.
Tambahnya, pilihan penyahgaraman air yang turut dikaji didapati jauh lebih mahal berbanding BWSA.
Menurutnya, anggaran dalaman PBAPP menunjukkan kos modal dan kos sepanjang kitar hayat bagi sebuah loji penyahgaraman berkapasiti 300 juta liter sehari (MLD), yang mempunyai jangka hayat kira-kira 20 tahun, boleh melebihi RM25 bilion.
Jumlah itu, katanya, jauh lebih tinggi berbanding caj kapasiti BWSA sebanyak RM8.4 bilion bagi tempoh 40 tahun.
“Selepas lebih sedekad berusaha, kerajaan negeri akhirnya berjaya menjamin sekuriti bekalan air jangka panjang menerusi cadangan BWSA antara PBAPP dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak (PAIP),” katanya.
Beliau menjelaskan, perjanjian itu melibatkan pembekalan antara 300 hingga 500 MLD air terawat selama 40 tahun dengan pembahagian risiko yang adil antara kedua-dua pihak.
"Loji rawatan air (WTP) berkapasiti 500 MLD itu dibina khusus untuk memenuhi keperluan PBAPP dengan kos pembinaan dianggarkan RM3 bilion.
"Bagaimanapun, kos pembiayaan serta kerja pembaharuan sepanjang tempoh kontrak menjadikan jumlah keseluruhan caj kapasiti sebanyak RM8.4 bilion selepas melalui penelitian perunding kewangan yang dilantik," jelasnya.
Menurutnya, PAIP bertanggungjawab mendapatkan pembiayaan, menanggung risiko pembinaan serta mengurus penyelenggaraan dan penaiktarafan infrastruktur manakala PBAPP tidak perlu membuat sebarang bayaran pendahuluan atau sumbangan modal.
Sebaliknya, Kon Yeow berkata, kos pembinaan akan dibayar semula menerusi caj kapasiti tahunan sebanyak RM210 juta bermula pada tarikh pembekalan.
“Caj kapasiti ini merupakan bayaran bagi ketersediaan kapasiti loji untuk Pulau Pinang serta membiayai semula kos pembinaan dan pembiayaan loji tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah keseluruhan pembayaran kontrak, Kon Yeow berkata, daripada RM24.6 bilion yang perlu dibayar sepanjang tempoh perjanjian, sebanyak RM16.2 bilion merupakan caj bekalan bagi air yang dibekalkan.
Ujarnya, PBAPP hanya perlu membayar berdasarkan jumlah air yang benar-benar diterima dan memenuhi piawaian kualiti dipersetujui.
"Malah, PAIP juga perlu membayar ganti rugi sekiranya gagal membekalkan kuantiti air seperti ditetapkan atau tidak memenuhi piawaian kualiti yang disahkan makmal bebas.
"Bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi keadaan di luar kawalan PAIP seperti kemarau teruk atau apabila keperluan bekalan air Perak sendiri perlu diutamakan menerusi Klausa Kepentingan Negeri," katanya.
Beliau turut menjelaskan, perjanjian itu mengandungi beberapa mekanisme perlindungan bagi memastikan kepentingan Pulau Pinang terpelihara termasuk hak PBAPP menamatkan kontrak sekiranya PAIP melanggar terma perjanjian dan gagal memperbetulkan pelanggaran dalam tempoh 90 hari.
"Dalam keadaan itu, PBAPP tidak perlu membuat pembayaran caj kapasiti seterusnya.
"Sekiranya bekalan air digantung melebihi tiga bulan bukan disebabkan kesalahan PBAPP, kedua-dua pihak berhak meminta rundingan semula atau merujuk perkara itu kepada kerajaan negeri masing-masing untuk pengantaraan.
"Penamatan hanya boleh dilakukan sekiranya rundingan gagal mencapai persetujuan selepas tempoh tambahan tiga bulan," katanya lagi.
Dalam keadaan berkenaan, beliau berkata, PBAPP hanya perlu membuat bayaran sekaligus berdasarkan baki caj kapasiti tertunggak selepas mengambil kira diskaun empat peratus setahun.
Selain itu, Kon Yeow menambah, terdapat dua lagi mekanisme penamatan tanpa perlu meneruskan pembayaran caj kapasiti.
"Ia adalah sekiranya lesen PAIP tidak diperbaharui bukan disebabkan kesalahan mana-mana pihak atau apabila PBAPP memilih menamatkan perjanjian pada Tahun Ke-22 sekiranya tiada persetujuan dicapai berhubung semakan caj bekalan," ujarnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, keperluan mendapatkan bekalan air tambahan tidak dipertikaikan oleh Lembaga Pengarah PBAHB termasuk lima pengarah yang tidak bersetuju dengan terma tertentu perjanjian berkenaan.
Menurutnya, perbezaan pandangan lima pengarah itu hanya tertumpu kepada terma pembayaran sekiranya Klausa Kepentingan Negeri Perak dikuatkuasakan serta kemungkinan berlaku penggantungan bekalan untuk tempoh berpanjangan.
"Keperluan bekalan tambahan itu penting mengambil kira unjuran permintaan air Pulau Pinang yang dijangka melebihi 1,100 MLD menjelang 2032 selain kebergantungan berterusan negeri ini kepada Sungai Muda.
“Semua mekanisme ini dimasukkan bagi memastikan BWSA bukan sahaja menjamin bekalan air jangka panjang Pulau Pinang malah melindungi kepentingan kewangan PBAPP dan rakyat negeri ini sepanjang tempoh perjanjian,” katanya.