ALOR SETAR – Kerajaan Kedah memutuskan tiada kenaikan gaji atau elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada tahun depan, sebaliknya mengekalkan kadar bayaran sebanyak RM11,000 seperti diterima ketika ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang masih belum stabil selain keadaan rakyat yang turut berdepan tekanan kos sara hidup.
Menurutnya, beliau juga tidak bercadang untuk mengkaji semula kadar bayaran yang diterima wakil rakyat ketika ini kerana menganggap jumlah berkenaan masih memadai.
"Saya sudah buat keputusan tidak akan berlaku kenaikan gaji. Tidak ada.
"Saya tak berhasrat untuk mengkaji pun gaji-gaji ADUN. Cukuplah RM11,000 itu, belanja yang itu sudah, jangan belanja lebih.
"Hidup macam orang lain sahaja. Kita hidup dalam suasana biasa, tak perlu berlebihan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Negeri di sini.
Muhammad Sanusi berkata, wakil rakyat perlu mengawal perbelanjaan dan menyesuaikan kehidupan mengikut pendapatan sedia ada tanpa mengharapkan kenaikan elaun dalam keadaan ekonomi yang belum mengizinkan.
Bagaimanapun, beliau memahami tanggungjawab ADUN yang sering memerlukan mereka menghulurkan sumbangan wang tunai kepada penduduk sehingga ada kalanya terpaksa menggunakan wang poket sendiri bagi membantu golongan memerlukan.
Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai beberapa program bantuan yang boleh dimanfaatkan wakil rakyat untuk meringankan beban penduduk di kawasan masing-masing.
Antara program berkenaan ialah Beras Sejahtera, iKAFALAH (Bantuan Khairat Kematian), iBAKIPT (Bantuan Awal Kemasukan Ke Institusi Pengajian Tinggi) dan Tabung Tunku Mahmud yang menyediakan bantuan kepada golongan memerlukan.
"Kita ada program-program yang boleh menyelamatkan ADUN-ADUN. Saya rasa itu telah meringankan beban mereka. Jadi, kawallah perbelanjaan dalam kadar yang diterima sekarang.
"Tunggu tukar MB lain dulu, baru buat kajian tentang kenaikan kadar elaun. Saya tak bersedia untuk kaji atau naikkan elaun Ahli Yang Berhormat dalam keadaan kita tidak berapa stabil.
"Kewangan kita tidak berapa bagus, rakyat pun hidup tak berapa senang, jadi tak payahlah lagi," ujarnya.
Secara berseloroh, Muhammad Sanusi berkata, wakil rakyat yang berdepan masalah kewangan boleh datang berjumpa dengannya.
Beliau turut mengingatkan bahawa rezeki bukan semata-mata diukur berdasarkan jumlah pendapatan, sebaliknya kecukupan dan keberkatan dalam kehidupan.
Katanya, terdapat individu yang memperoleh pendapatan besar tetapi masih berasa tidak cukup, manakala mereka yang berpendapatan kecil pula mampu menjalani kehidupan dengan baik.