KUANTAN - Akibat terlalu mengejar keuntungan mudah sebanyak 10 peratus, seorang kontraktor bukan sahaja kehilangan wang simpanan peribadi, malah turut melibatkan dana syarikatnya berjumlah RM356,342 dalam satu skim pelaburan tidak wujud.
Kejadian itu bermula apabila lelaki berusia 34 tahun tersebut melihat satu iklan pelaburan melalui laman web dikenali sebagai Marinasand pada 18 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berminat kemudian mendaftar dan menyertai pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan keuntungan lumayan daripada jumlah pelaburan.
"Sebanyak 16 transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank yang berbeza bermula dari 18 Februari hingga 19 Mac lalu berjumlah RM356,342.00.
"Transaksi itu dilakukan dengan menggunakan simpanan peribadi dan melibatkan wang milik syarikatnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lelaki tersebut hanya sempat menerima pulangan awal sekitar RM1,000 sebelum tidak menerima sebarang keuntungan seterusnya seperti yang dijanjikan.
"Mangsa juga mendapati tidak lagi dapat mengakses laman sesawang pelaburan tersebut sebelum menyedari telah ditipu.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," jelasnya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan.
Tegasnya, langkah ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Yahaya menambah, orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
"Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan segera," katanya.