Teruja sambut raya selepas bebas kanser

Iklan
Nurin Amira Aleya (kiri) dibantu Zuraini (tengah) semasa memilih baju raya di pasar raya Mydin di Alor Setar.

ALOR SETAR – Selepas hampir lapan tahun berjuang melawan kanser, seorang remaja perempuan kini teruja dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan apabila berpeluang membeli pakaian raya bersama pesakit kanser lain.

Nurin Amira Aleya Mohd Khairi, 19, berkata, ketika menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum ini, dia tidak mempunyai semangat menyambut Aidilfitri kerana perlu memberi tumpuan kepada rawatan penyakitnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengalaman itu menyebabkan dia tidak pernah merasai kegembiraan membeli pakaian raya seperti remaja lain.

“Sebelum ini ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital, saya tidak merasai suasana memakai baju raya malah tidak bersemangat untuk menyambut Aidilfitri.

Iklan

“Tapi sekarang apabila sudah semakin sihat, saya sangat seronok meraikan lebaran selepas hampir lapan tahun berjuang melawan kanser limfoma limfoblastik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

CSM meraikan pesakit kanser dengan membeli kelengkapan di pasar raya Mydin sempena Aidilfitri pada tahun ini.

Iklan

Nurin Amira merupakan antara 100 pesakit kanser kanak-kanak menerima sumbangan pakaian Aidilfitri menerusi program anjuran Cancer Survivors Malaysia (CSM).

Katanya, peluang membeli pakaian raya memberi kegembiraan buat dirinya selain membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga.

"Saya disahkan menghidap kanser ketika berusia lapan tahun dan berulang-alik ke HPP menjalani rawatan kemoterapi serta pemeriksaan susulan.

“Apabila doktor beritahu sel kanser semakin berkurangan, saya sangat gembira. Dahulu berat badan saya turun kerana tidak lalu makan.

“Tetapi sekarang sudah semakin meningkat dan saya perlu terus menjaga kesihatan,” katanya yang kini menuntut di Kolej Tingkatan Enam Sultan Salehuddin (KTESS), Hutan Kampung di sini.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, seramai 100 pesakit kanser kanak-kanak menerima sumbangan Aidilfitri sebanyak RM200 seorang bagi menceriakan mereka untuk menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, sebahagian pesakit berpeluang membeli pakaian raya di Mydin Alor Setar manakala selebihnya di Mydin Sungai Petani.