GENTING GAZA - Derita penduduk Palestin di Genting Gaza bertimpa-timpa selepas ribut pasir ganas melanda wilayah itu pada Sabtu.
Kebanyakan khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk di tengah dan selatan Gaza turut musnah dalam kejadian itu.
Rakaman yang dikongsikan di media sosial menunjukkan beberapa pemuda Palestin cuba menyokong struktur khemah yang hampir roboh kerana diterbangkan angin kencang.
Selain itu, keadaan langit bertukar jingga akibat 'amukan' ribut pasir tersebut juga meraih perhatian warganet yang bersimpati dengan nasib penduduk Palestin kerana dilanda ujian tanpa henti pada minggu akhir Ramadan.
Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya tiga penduduk Palestin terkorban selepas rejim Zionis berterusan menggempur seluruh wilayah tersebut.
Lebih 650 kematian direkodkan setelah Israel berterusan melanggar gencatan senjata goyah yang berkuat kuasa pada Oktober 2025. - Agensi