KUALA LUMPUR - Peguam kepada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid iaitu Nizamuddin Hamid direkod keterangan di Bukit Aman di sini pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
Menurut Nizamuddin, terima kasih kepada pasukan polis yang melakukan siasatan, layanan yang diberikan dengan baik dan profesional.
"Pendek sahaja yang saya ingin cakap pada hari ini, temanya ialah fokus kepada realiti, hindari fantasi.
"Realiti pertama ialah anak guam kami (Na'imah) tidak ada kena mengena langsung dengan laporan Bloomberg yang menjadi isu dalam siasatan ini, manakala realiti kedua, anak guam kami atau ahli keluarganya berhak untuk mempertahankan Allahyarham Tun Daim, namanya, legasinya di media atau di mahkamah.
"Realiti ketiga, perlu ada reform terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang masih belum dilaksanakan. Itu tiga realiti," katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan pada Khamis.
Tambah beliau, fantasi pertama yang patut dihindari ialah seorang balu berusia 70 tahun tidak mampu dan tidak boleh untuk mengugat demokrasi berparlimen.
Jelasnya, fantasi kedua yang perlu dihindari ialah langsung tidak ada perlibatan daripada zionis Israel, manakala fantasi ketiga ialah badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil yang dipanggil, mereka tidak dibayar oleh anak Na'imah.
"Mereka adalah bebas dan terus menjadi kuasa semak dan imbang dalam negara kita. Terima kasih," ujarnya.
Katanya lagi, sebanyak kira-kira 90 soalan diajukan dan proses merekod keterangan kurang dari tiga jam.
Sebelum itu, Nizamuddin hadir bersama dua peguam lain iaitu Datuk Khalid Yusoff dan Izwan Ariff Ibrahim.
Proses itu diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Dalam perkembangan lain, peguam Zaid Malik yang mewakili dua individu lain berhubung isu terbabit berkata, anak guam mereka iaitu penganalisis politik telah diajukan kira-kira 80 soalan oleh pihak polis berhubung kes berkenaan.
"Kedua-dua anak guam saya dipanggil selepas nama mereka muncul dalam satu senarai yang didakwa terkandung dalam e-mel yang dikaitkan dengan siasatan tersebut," ujarnya.
27 Februari lalu Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerusi kenyataan akhbar dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit dengan dakwaan melibatkan seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Kata Mohd Khalid, siasatan perkara itu dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Berkenaan dakwaan itu, Na'imah dalam satu kenyataan menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.