Ibu cari rakaman 'dashcam', saksi kemalangan maut dua anak

Iklan
Dua beradik maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke asrama pada Ahad.

YAN – Ibu kepada dua beradik yang maut dalam nahas jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan pada Ahad memohon orang ramai berkongsi rakaman kamera papan pemuka bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian.

Siti Asa Abd Halim, 45, berkata, rakaman berkenaan diperlukan bagi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sehingga kedua-dua anaknya, Siti Nur Zulaikha Muhammad Shukor, 18, dan abangnya, Luqman Nulrois, 19, terkorban dalam kemalangan tragik itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian membabitkan dua beradik pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal itu diminta tampil memaklumkan kepada pihak keluarga.

“Dengan adanya bantuan rakaman dashcam (kamera papan pemuka) atau CCTV (kamera litar tertutup) jika ada, ia dapat membantu kami mengetahui apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Iklan

Dalam kejadian itu, Siti Nur Zulaikha yang merupakan pelajar semester akhir Sijil Pengurusan Perniagaan membonceng motosikal bersama abangnya, Luqman Nulrois, pelajar semester dua Diploma Teknologi Pembinaan.

Motosikal ditunggang kemudian melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipercayai diletakkan di kiri jalan semasa dalam perjalanan pulang ke asrama.

Iklan

“Setakat ini kami belum menemui mana-mana saksi atau individu yang melihat kejadian dan tidak tahu bagaimana hendak mencarinya,” jelasnya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dihubungi individu yang memaklumkan anak perempuannya meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi anaknya berada dalam ambulans.

Namun, disebabkan jalan sesak ketika itu, Siti Asa dan suami tidak sempat tiba awal di lokasi kejadian.

Belum pun sempat sampai, mereka dimaklumkan anak lelakinya pula meninggal dunia.

Dalam kejadian petang Ahad itu, dua beradik berkenaan bertolak dari rumah mereka di Kampung Teroi Bukit, Yan sebelum motosikal ditunggang berlanggar dengan MPV jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di kiri jalan ketika menuju ke arah Bertam.

Siti Nur Zulaikha dilaporkan maut di lokasi kejadian manakala Luqman Nulrois meninggal dunia di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sebelum ini, media melaporkan dua beradik maut selepas motosikal ditunggang melanggar MPV ketika dalam perjalanan menghala ke Bertam.

Jenazah kedua-dua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Yan selepas solat Zohor pada Isnin.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Luqman Nulhakim di talian 011-40280414.