Mahkamah Persekutuan dengar dua persoalan undang-undang kes isytihar harta Na’imah

Iklan
Mahkamah Persekutuan Putrajaya akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dicabar oleh Na’imah berkaitan gagal mengisytiharkan harta.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan di Putrajaya akan mendengar dua persoalan undang-undang yang dicabar oleh balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berkaitan kes gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid untuk merujuk persoalan undang-undang tersebut dalam prosiding pada Rabu.

Iklan
Iklan

“Saya membenarkan perkara terbabit namun melibatkan dua soalan sahaja ke Mahkamah Persekutuan,” kata hakim.

Dua persoalan tersebut ialah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 melanggar hak untuk menyalahkan diri sendiri dan hak supaya tidak dipaksa mengemukakan bukti yang menunjukkan seseorang bersalah untuk digunakan dalam kes yang dihadapi.

Iklan

Ia turut menyentuh hak untuk berdiam diri, prinsip anggapan tidak bersalah dan hak perbicaraan yang adil, yang melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan, sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Persoalan kedua ialah sama ada dua seksyen itu memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Dalam prosiding itu, Na’imah, 69, selaku pemohon dikecualikan kehadiran dan diwakili peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sementara itu, di luar mahkamah, Gurdial berkata, dua persoalan yang dibenarkan tersebut, bakal memberi kesan terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya.

Pada 23 Januari 2024, Na'imah didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis supaya mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Pada 29 Februari tahun sama, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Pada 18 Februari 2025, Mahkamah Sesyen menolak permohonannya untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan kesahihan pertuduhan itu ke Mahkamah Tinggi.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan itu tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, pada 21 Ogos tahun sama, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dengan membenarkan Na'imah merujuk lapan persoalan undang-undang berhubung pertuduhan berkaitan mengisytiharkan harta dihadapinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Na’imah berjaya rujuk 8 persoalan undang-undang

Na'imah wakili Allahyarham Daim cabar undang-undang kaitan rampasan aset

Isteri Tun Daim mahu kes diteruskan