Bengkel cat kenderaan rupanya 'safe house' sindiket migran

Iklan
JIM menyerbu sebuah bengkel kenderaan di Klang yang dijadikan 'safe house' sindiket seludup migran. - Gambar kecil ( Zakaria)

KLANG - Sindiket menyeludup migran yang didalangi lelaki Bangladesh tumpas selepas bengkel cat kenderaan yang dijadikan sebagai ‘safe house’ di sini diserbu pada Isnin.

Serbuan dijalankan sepasukan Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lelaki berusia 40 tahun itu disyaki mengatur pergerakan migran secara haram menerusi sempadan di Pantai Timur.

Menurutnya, selain dalang utama, JIM turut menahan tiga lelaki Bangladesh berusia lingkungan 34 hingga 38 tahun yang disyaki berperanan sebagai ejen pengatur, penghantar (transporter) dan penjaga ‘safe house’.

Iklan

“Sindiket itu disyaki mengeksploitasi dan menyeludup migran Bangladesh secara tidak sah sebelum ditawarkan pekerjaan di negara ini.

“Suspek utama akan mengatur lokasi penempatan migran sebelum diserahkan kepada majikan tertentu untuk dieksploitasi sebagai pekerja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

JIM menumpaskan sindiket penyeludupan migran dalam serbuan di Klang pada Isnin. Foto: JIM

Tambahnya, pemeriksaan lanjut turut menyelamatkan tiga migran warga Bangladesh berusia 21 hingga 45 tahun yang dipercayai dieksploitasi sindiket terbabit.

Katanya lagi, berdasarkan pengakuan, ketiga-tiga mangsa ini ditempatkan sementara di bengkel berkenaan sebelum dihantar untuk bekerja dalam sektor pembinaan seperti yang telah dijanjikan oleh ejen.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155],” katanya.

Selain itu, kira-kira jam 11 pagi hari sama dalam operasi berlainan di sebuah gudang pameran dan jualan produk kesihatan di Subang Jaya, JIM menahan lapan warga China termasuk tujuh wanita yang disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kata Zakaria, siasatan awal mendapati aktiviti itu menyasarkan pelancong asing dari China dan dipercayai dijalankan secara tersusun dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan.

Dalam operasi ketiga pada jam 11.25 pagi di Bandar Sunsuria, Sepang, JIM turut menahan lima lelaki dan seorang wanita warganegara China kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di premis restoran.

“Turut ditahan 16 warganegara Myanmar yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah.

“Kesemua tangkapan berusia antara 21 hingga 62 tahun dari dua lokasi terbabit telah dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.